OKU maut jatuh tingkat 6 hospital

OKU maut jatuh tingkat 6 hospital

Polis berkata siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan mati mengejut.

Pengarah Kesihatan Johor Dr Mohtar Pungut @ Ahmad berkata pesakit itu menerima rawatan kecemasan di zon merah Jabatan Kecemasan dan Trauma, namun tidak dapat diselamatkan. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Seorang lelaki tempatan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat enam bangunan Hospital Sultan Ismail (HSI), petang semalam.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, berkata dalam kejadian 5.20 petang itu, mangsa 22 tahun merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dimasukkan ke hospital pada 12.30 tengah malam Ahad (5 Nov) kerana perlu menjalani pembedahan di lutut kanannya yang dijadualkan esok (8 Nov).

“Namun, pembedahan dibatalkan kerana mangsa selsema dan beliau dibenarkan keluar hospital,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian berkenaan dan kes diklasifikasikan mati mengejut (SDR).

Raub turut meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat di talian 016 2203465.

Pengarah Kesihatan Johor, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad, dalam kenyataan berasingan berkata mangsa tidak menunjukkan sebarang tanda kemurungan atau gejala psikiatri sepanjang dalam wad.

“Selepas pembedahan kaki ditangguhkan kerana pesakit menghidapi jangkitan saluran pernafasan, pesakit dibenarkan pulang pada 5.05 petang semalam dan sementara menunggu proses discaj, pesakit dan waris menunggu di depan wad.

“Tanpa disedari waris, pesakit berjalan berseorangan ke aras enam sebelum 5.20 petang. Seorang saksi mendakwa ternampak pesakit berdiri di tebing struktur bangunan aras enam dan melompat ke bawah.”

Beliau berkata, pesakit terus diberi bantuan kecemasan oleh pegawai perubatan dan pasukan paramedik serta dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HSI untuk rawatan lanjut.

“Pesakit kemudian menerima rawatan kecemasan di zon merah, namun tidak dapat diselamatkan.”

Terdahulu, tular video 21 saat di media sosial memaparkan seorang lelaki jatuh dari tingkat atas sebuah hospital di bandar raya ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.