
Rayuan oleh bekas pakar patologi Dr R Kunaseegaran, 60, pemberi pinjaman wang S Ravi Chandaran, 52, dan empat individu tidak bekerja R Dinishwaran, 31, AK Thinesh Kumar, 30, M Vishwanath, 33, dan S Nimalan, 30, sepatutnya didengar panel tiga hakim terdiri daripada Hadhariah Syed Ismail, Ahmad Zaidi Ibrahim dan Azmi Ariffin hari ini.
Bagaimanapun, peguam M Manoharan memohon penangguhan singkat kerana beliau baru dilantik oleh mahkamah bagi mewakili Dinishwaran pada 31 Okt lalu dan belum meneliti rekod rayuan untuk menyediakan kes itu.
Katanya walaupun mahkamah memberikan beliau pautan kepada rekod rayuan, beliau memerlukan salinan cetak rayuan itu kerana tidak mahir memuat turun dokumen berkenaan, selain rekod rayuan itu sangat panjang.
Peguam N Sivananthan mewakili Kunaseegaran memberitahu mahkamah, beliau dan peguam lain mewakili perayu tidak membantah penangguhan itu.
Hadhariah menetapkan 4, 7 dan 14 Dis ini untuk pendengaran rayuan itu.
“Tiada sesiapa dibenar menghantar surat untuk penangguhan. Ini tarikh muktamad, tiada penangguhan dibenarkan.”
Peguam Afifuddin Ahmad Hafifi yang mewakili Vishwanath bertanyakan mahkamah sama ada beliau boleh mengemukakan hujahannya pada 14 Dis ini kerana tiada di sini pada 4 dan 7 Dis nanti.
Peguam Burhanudeen Abdul Wahid mewakili Thinesh Kumar, peguam Kitson Foong bagi pihak Ravi Chandaran dan peguam Amer Hamzah Arshad mewakili Nimalan. Timbalan Pendakwa Raya Dusuki Mokhtar, Mohd Fairuz Johari dan Mohd Fuad Abdul Aziz bagi pihak pendakwaan.
Pada 10 Julai 2020, semua lelaki itu dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah membunuh Morais di sebuah lokasi sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan No 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara 7 pagi hingga 8 malam 4 Sept 2015.
Morais, 55, dilaporkan hilang pada tarikh itu dan kali terakhir dilihat meninggalkan kondominium di Menara Duta, Kuala Lumpur, untuk ke pejabatnya di Jabatan Peguam Negara, Putrajaya menaiki Proton Perdana. Mayatnya ditemui dalam tong dram diisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, pada 16 Sept 2015.
Dalam keputusannya, Hakim Mahkamah Tinggi, Azman Abdullah, (kini hakim Mahkamah Rayuan) berpendapat enam lelaki itu mempunyai niat bersama untuk membunuh Morais.
Beliau berkata pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah berhubung penglibatan enam lelaki itu dalam pembunuhan berkenaan.
Enam lelaki itu kemudiannya memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan.