
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, soalan mengenai perkara itu dikemukakan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) kepada menteri kerja raya, yang ingin tahu usaha kementerian bagi menambah baik sistem kutipan tol di lebuh raya.
Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) pula meminta menteri sumber manusia menyatakan langkah diambil bagi menangani isu ketidakpadanan kemahiran yang dikenal pasti sebagai faktor utama menghalang keupayaan sumber tenaga kerja untuk beralih kepada negara berpendapatan tinggi.
Pada sesi sama, Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) mahu menteri ekonomi menyatakan status pelaksanaan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital).
Selesai sesi itu, sidang Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) pada peringkat jawatankuasa selepas diluluskan pada peringkat dasar Khamis lepas dengan lebih suara bersetuju.
Menurut takwim Parlimen, perbahasan RUU pada peringkat jawatankuasa itu akan berlangsung selama 12 hari hingga 27 Nov depan.
Belanjawan 2024 bertemakan “Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat” yang dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Parlimen pada 13 Okt lepas melibatkan peruntukan RM393.8 bilion, menjadikannya belanjawan terbesar pernah dibentangkan dalam sejarah Malaysia.
Sidang Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari mulai 9 Okt lepas.