Selangor sambung pemutihan kilang tanpa kebenaran

Selangor sambung pemutihan kilang tanpa kebenaran

Exco Ng Suee Lim berkata hanya 7% daripada 7,221 kilang berjaya diputihkan sejak 2006 hingga kini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Ng Suee Lim berkata kerajaan negeri sedia memberikan bantuan kepada semua pengusaha dan pemilik agar mereka memutihkan kilang masing-masing.
PETALING JAYA:
Kerajaan Selangor akan menyambung program pemutihan memandangkan tidak sampai 1,000 daripada 7,221 kilang tanpa kebenaran (KTK) berjaya diputihkan sejak 2006 hingga kini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Ng Suee Lim, berkata walaupun program pemutihan telah tamat, arahan untuk menyambungnya akan dikeluarkan sebelum dasar dirangka pada tahun depan.

“Lebih 7,000 jumlah kilang tanpa kebenaran di Selangor dan hanya tujuh peratus berjaya diputihkan yang mana ia tidak sampai 1,000 pun. Ada juga kilang yang masih dalam proses pemutihan (belum lengkap).

“Program pemutihan memang sudah tamat, tapi saya akan bagi arahan dalam masa terdekat untuk mereka sambung (program pemutihan) sebelum saya rangka satu dasar pada tahun hadapan,” katanya menurut Berita Harian selepas sesi townhall exco kerajaan tempatan bersama pemilik dan pengusaha KTK, di Shah Alam.

Beliau berkata, pihaknya mengesan beberapa halangan mendorong pengusaha kilang tidak melakukan pemutihan antaranya sudah selesa (mengusahakan kilang di sesuatu kawasan), masalah dalam mendapatkan Kebenaran Merancang (KM), dan pemilik tanah serta pengusaha kilang adalah individu berlainan.

“Saya nak bagi ‘booster’ pada KTK ini tapi saya perlukan sedikit masa, mungkin ada ‘task force’ yang mesra rakyat serta dinamik yang boleh menarik pengusaha untuk putihkan kilang mereka,” katanya.

Ng berkata, sesi libat urus berkenaan dilaksanakan untuk mendengar keluhan serta mendapatkan input daripada pengusaha kilang tanpa kebenaran.

“Sesi ini adalah untuk mencari titik persamaan serta solusi yang mana kita akan teliti satu persatu (keluhan) sebelum adakan polisi atau dasar pada tahun hadapan.

“Saya akan cuba sedaya upaya memberikan bantuan kepada semua pengusaha dan pemilik agar mereka dapat memutihkan kilang mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.