
Ketua Polis Batu Pahat, Ismail Dollah berkata wanita 62 tahun itu membuat laporan di IPD Batu Pahat semalam.
Katanya mangsa mendakwa kejadian bermula April lalu ketika berurusan dengan seorang lelaki melalui Facebook dan aplikasi WhatsApp bagi menyertai pelaburan bitcoin.
Beliau berkata mangsa memulakan pelaburan dengan memasukkan RM35,320 melalui tujuh transaksi akaun bank berbeza secara berperingkat.
Katanya mangsa turut menyerahkan data peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan dan maklumat perbankan untuk urusan itu, selain memuat turun aplikasi Yoamax.
“Mangsa kemudian dihubungi kononnya telah mendapat keuntungan daripada pelaburan awal, namun diminta memasukan RM164,417 jika ingin mengeluarkan duit tersebut,” katanya menurut Sinar Harian.
Ismail berkata suspek mendakwa wang itu akan dikembalikan jika mangsa tidak terlibat aktiviti pengubahan wang haram.
Tetapi katanya, penipuan itu belum berakhir kerana mangsa juga dikehendaki memasukan RM99,636 bagi bayaran pertukaran wang asing.
“Bagaimanapun, sehingga hari ini, mangsa belum mendapat sebarang bayaran serta keuntungan dinyatakan sebelum membuat laporan polis semalam,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Beliau menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati apabila menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali dan membuat semakan dengan pihak berkuasa berkaitan jika mempunyai keraguan.