Perkembangan ringgit tak jejas prospek pertumbuhan ekonomi, kata PM

Perkembangan ringgit tak jejas prospek pertumbuhan ekonomi, kata PM

Anwar Ibrahim berkata inisiatif pelan industri baharu selain pelan peralihan tenaga akan perkukuh daya saing.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata prestasi ringgit dan mata wang serantau didorong faktor luaran terutama kadar faedah AS. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perkembangan ringgit dijangka tidak akan menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi negara, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, prestasi ringgit dan mata wang serantau lain terus didorong faktor luaran terutamanya jangkaan bahawa kadar faedah Amerika Syarikat akan kekal tinggi untuk tempoh lama dan faktor geopolitik.

“Usaha kerajaan terhadap pembaharuan struktur termasuk inisiatif menerusi Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga akan memperkukuh daya saing Malaysia.

“Ini akan meningkatkan daya tarikan negara terhadap pelabur asing, seterusnya membantu pengukuhan nilai ringgit secara lebih mampan,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 6 2023.

Anwar berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) komited dalam usaha membendung kemeruapan yang berlebihan bagi memastikan pasaran pertukaran ringgit kekal teratur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.