
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim daripada PKR sebaliknya berkata, Dewan Rakyat memerlukan reformasi lebih besar dan bermakna seperti mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen.
“(Ia bagi) menjadikan Parlimen cabang kerajaan bebas daripada eksekutif supaya Parlimen dapat berfungsi dengan efektif dalam sistem berkerajaan yang mengamalkan doktrin pengasingan kuasa.
“Speaker Dewan Rakyat perlu ada wawasan lebih murni dan berwibawa tinggi untuk membina amalan demokrasi berparlimen lebih bermakna,” katanya kepada FMT.
Kelmarin, Johari dilaporkan berkata, ia antara beberapa penambahbaikan yang akan dilaksanakan bagi meningkatkan kehadiran Ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat kerana mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap pengundi serta kawasan Parlimen diwakili.
Katanya, cadangan itu akan dibincangkan dengan jawatankuasa Parlimen turut dianggotai Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan.
Hassan menyifatkan cadangan itu “menghampiri perilaku memfitnah sambil menegaskan Ahli Parlimen tidak sewajarnya dilayan seperti kanak-kanak sekolah”.
“Ahli Parlimen memerlukan seorang speaker, bukannya monitor bilik darjah. Ahli Parlimen perlu dipandang dengan hormat dan bersangka baik, bukannya sangkaan buruk dan bersikap malice (berniat jahat) terhadap mereka.”
Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin pula mencadangkan Johari mengemukakan SOP wajar supaya tidak “menjejaskan” Ahli Parlimen.
“Sebagai contoh, nak surat cuti sakit macam mana? Adakah perlu dapatkan surat cuti sakit dari Kementerian Kesihatan kerana Ahli Parlimen ‘not entitle’ cuti?
“Maksudnya, perlu ada SOP sewajarnya yang perlu dipatuhi dalam melaksanakan pemberitahuan makluman kepada Ahli Parlimen,” kata naib ketua Wanita Bersatu itu.
Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden pula menggesa Dewan Rakyat berlaku adil dengan mendedahkan kehadiran semua wakil rakyat, termasuk anggota tertinggi kerajaan.
“Dedahkan juga sebab ketidakhadiran, contohnya sakit, mesyuarat, urusan rasmi kerajaan atau lain-lain sebab yang dinyatakan Ahli Parlimen tersebut secara bersurat supaya orang ramai tahu apa sebab seseorang Ahli Parlimen tidak hadir dan tidak membuat prasangka bukan-bukan,” kata ketua Pemuda PAS itu.