Didakwa ‘musuh Islam terbesar’, Ramasamy ancam saman Zakir Naik

Didakwa ‘musuh Islam terbesar’, Ramasamy ancam saman Zakir Naik

Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang tuntut penceramah itu menarik balik dakwaan dan memohon maaf atas ulasannya dalam ucapan minggu lalu.

Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang P Ramasamy (tengah) bersama peguam dan penyokong selepas membuat laporan di IPD Bukit Mertajam.
PETALING JAYA:
Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, P Ramasamy mengancam menyaman Dr Zakir Naik kerana didakwa merujuknya sebagai “musuh Islam terbesar”.

Peguam Ramasamy, Shamser Singh Thind, berkata notis undang-undang diserahkan kepada pendakwah itu berhubung kenyataan dibuat dalam ucapannya di Nigeria, pada Sabtu.

Video ucapan itu dimuat naik di platform media sosial Naik.

“Dakwaan dibuat oleh Naik terhadap anak guam kami tidak berasas sama sekali,” kata Shamser dalam kenyataan.

Ramasamy menuntut Naik menarik balik tuduhan beliau “musuh Islam terbesar” dan apa jua video mengandungi dakwaan sedemikian.

Beliau juga mahu Naik menyediakan jaminan tidak akan mengulangi dakwaan itu.

Jika Naik gagal mematuhi tuntutan dalam tempoh 14 hari, beliau berkata, peguamnya akan memfailkan saman fitnah.

Shamser berkata, mereka juga membuat laporan di IPD Bukit Mertajam berhubung kandungan video itu, memandangkan ulasan Naik “berkemungkinan jenayah fitnah dan penggunaan multimedia tidak wajar”.

Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Ramasamy membayar ganti rugi kepada Naik RM1.52 juta kerana memfitnahnya, antara 2017 dan 2019.

Mahkamah mengarahkan Ramasamy membayar keseluruhan wang itu dalam tempoh 30 hari, namun beliau memohon penangguhan permohonan maaf sementara menunggu hujahan lisan kedua-dua pihak dijadual pada 1 Dis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.