
Menurut laporan Sinar Harian, dalam serbuan berkenaan polis menyelamatkan mangsa termasuk dua wanita berusia 19 dan 30 tahun, dan menahan tiga suspek lelaki.
Ketua Polis Keningau Yampil Anak Garai berkata, salah seorang suspek berusia 44 tahun disyaki menjadi “runner” dan “transporter” untuk menghantar mangsa kepada pelanggan yang melanggan perkhidmatan seks.
“Dua lagi suspek berperanan untuk mencari pelanggan kepada mangsa melalui aplikasi media sosial.
“Modus operandi semua suspek ialah menjadikan satu kawasan sebagai transit untuk mengelak kegiatan mereka daripada dihidu oleh pihak berkuasa dan bergerak dari satu tempat ke tempat lain iaitu menggunakan inap desa atau hotel sebagai tempat beroperasi,” katanya.
Yampil berkata, dalam serbuan oleh Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sabah dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Keningau pihaknya turut merampas sejumlah wang tunai bersama beberapa barangan dipercayai digunakan untuk aktiviti pelacuran.
“Sebanyak RM785 dan tujuh telefon bimbit pelbagai jenama dan beberapa keping kondom dirampas. Suspek direman sehingga tujuh hari untuk siasatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 12/14 Akta Anti Pemerdagangan Orang (ATIPSOM) 2007.