Malaysia optimis FDI Jepun lebih RM30 bilion pada 2023, kata PM

Malaysia optimis FDI Jepun lebih RM30 bilion pada 2023, kata PM

Anwar Ibrahim berkata perkara itu menandakan keyakinan tidak berbelah bahagi Jepun kepada negara ini.

Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida dalam rangka lawatan rasminya selama dua hari di Malaysia. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Malaysia optimis pelaburan langsung asing (FDI) dari Jepun akan melebihi RM30 bilion (USD6.33 bilion) pada 2023, menandakan keyakinan tidak berbelah bahagi pelabur dari negara itu terhadap Malaysia, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz telah memaklumkan bahawa akan ada pelaburan baharu yang datang dari Jepun ke Malaysia tahun ini.

“Ini sangat mengagumkan (datang) daripada syarikat (Jepun) yang sudahpun melabur di Malaysia, yang sentiasa membuat komitmen untuk meningkatkan dan mengembangkan pembangunan mereka ke Malaysia,” katanya semasa sidang media bersama Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida.

Kishida sedang dalam lawatan kerja selama dua hari ke Malaysia.

Anwar berkata, sebagai negara rakan Komuniti Pelepasan Sifar Bersih Asia (Azec), Malaysia dan Jepun komited melaksanakan usaha yang lebih penting menyahkarbon dan mencapai aspirasi pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih yang lebih besar.

“Perbincangan kami memberi keutamaan kepada peralihan tenaga. Kita berharap dapat mengukuhkan kerjasama dengan Jepun kerana kita telah mengeksport gas asli cecair (LNG) melalui Petronas selama beberapa dekad dan ini adalah sesuatu yang Perdana Menteri Kishida dan delegasinya sangat berminat untuk lakukan,” katanya.

Pada 2022, LNG merupakan eksport utama Malaysia ke Jepun merangkumi 31% daripada keseluruhan jumlah eksport ke negara tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.