Bekal air ketum di lokap, 4 anggota polis masih disiasat

Bekal air ketum di lokap, 4 anggota polis masih disiasat

Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun, berkata siasatan dalaman masih berjalan termasuk tindakan sementara bagi proses tahan kerja.

Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun, berkata jika benar berlaku perbuatan itu, maka tindakan akan diambil mengikut kes jenayah di bawah akta racun. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Siasatan terhadap empat anggota berpangkat koperal dan lans koperal yang disyaki membekalkan air ketum dan tembakau kepada tahanan lokap Mahkamah Kota Bharu, pada 30 Okt sedang berjalan.

Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun, berkata sebelum ini keempat-empat anggota berusia antara 25 hingga 33 tahun itu, direman tiga hari.

“Siasatan dalaman masih dijalankan dan kita akan ambil tindakan sementara untuk proses tahan kerja.

“Sekiranya benar bahan itu dibawa sama ada untuk kegunaan mereka atau untuk diedarkan, tindakan akan diambil di bawah kes jenayah iaitu mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya menurut Bernama di Kota Bharu selepas Perhimpunan Bulanan di IPK Kelantan.

Susulan kes itu, Zaki berkata pihaknya akan memberi penekanan kepada aspek penyeliaan termasuk mencari kaedah penyeliaan terbaik bagi ketua polis daerah dan jabatan masing-masing.

“Jika berlaku apa-apa kesalahan, orang yang menyelia juga akan terlibat dan disebabkan itu kita amat menekankan agar pemantauan dilakukan oleh pegawai penyelia.

“KPN (Ketua Polis Negara Razarudin Husain) pada Ogos lalu menyeru semua pegawai dan anggota yang memegang jawatan sebagai penyelia dalam Polis Diraja Malaysia agar melaksanakan arahan ‘total enforcement’ (penguatkuasaan penuh) ke atas Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya.

Beliau menambah kes seumpama itu pertama kali dikesan di negeri ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.