Ahmad Said umum tak tanding PRK Kemaman

Ahmad Said umum tak tanding PRK Kemaman

Bekas calon BN Parlimen Kemaman pada PRU15 berkata beliau sendiri cadang namanya tidak dicalonkan.

Ketua Umno Terengganu Ahmad Said berkata senarai nama calon yang akan dipilih bagi bertanding dalam PRK Kemaman sudah dimaklumkan kepada Presiden Umno Zahid Hamidi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Umno Terengganu Ahmad Said berkata nama beliau tiada dalam senarai calon Barisan Nasional (BN) yang akan dipilih bagi bertanding dalam PRK Kemaman pada 2 Disember ini.

Ahmad yang juga bekas calon BN untuk Parlimen Kemaman pada PRU15 lalu berkata beliau sendiri mencadangkan namanya tidak bertanding di PRK itu.

“Maknanya bukan saya jadi calon dan calon (yang akan bertanding) ialah antara nama-nama hebat dan terkemuka (dalam Umno),” katanya lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian dalam majlis ramah mesra jentera PRK Parlimen Kemaman di Kemaman, Terengganu malam tadi.

Katanya, beliau sudah memaklumkan dan berbincang dengan Presiden Umno Zahid Hamidi mengenai nama calon yang akan bertanding dalam PRK Kemaman.

“Presiden juga telah maklumkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim nama calon yang akan bertanding.

“Insya-Allah pada 13 November nanti presiden parti akan umum calon akan bertanding di Kemaman dalam satu majlis khas di Kuala Lumpur,” katanya.

Pada PRU15 lalu, Ahmad tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Che Alias Hamid yang menang dengan majoriti 27,179 undi.

Che Alias meraih 65,714 undi menewaskan Ahmad (38,535 undi) dalam persaingan empat penjuru itu.

PRK Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lalu membatalkan kemenangan PN setelah pempetisyen Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil berjaya membuktikan berlakunya perbuatan rasuah bagi mempengaruhi pengundi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.