‘Super Sheila’ curah kasih, beri harapan pada 5 anak tanpa kerakyatan

‘Super Sheila’ curah kasih, beri harapan pada 5 anak tanpa kerakyatan

Bekas wartawan Sheila Rahman Natarajan mengubah hidup anak-anak yang ditinggalkan ibu warga Indonesia.

Sheila Rahman Natarajan menerima Anugerah Muhibbah Kelab Akhbar Nasional-MacroKiosk pada 31 Okt, meraikan sumbangannya dalam mengubah kehidupan lima anak-anak ini.
KUALA LUMPUR:
Bagi lima anak tanpa status warganegara, Sheila Rahman Natarajan menjadi “ibu” yang tidak pernah mereka miliki, juga harapan terbaik mereka untuk menjadi rakyat Malaysia.

Ditinggalkan oleh ibu warga Indonesia pada 2016, lima anak-anak itu mendapat perhatian Sheila dan jiran-jirannya, yang menyedari kehadiran mereka di sebuah taman permainan di depan rumahnya di sebuah kawasan pinggir bandar ibu negara.

“Kami dapat agak ada sesuatu tak kena. Kami dapat tahu mereka tak bersekolah,” katanya kepada FMT.

Sheila turut mendapat tahu bahawa anak-anak itu, berusia antara empat hingga 11 tahun ketika itu, hanya tinggal bersama bapa mereka, warga tempatan Ee Sun Seng.

Sepanjang 7 tahun lepas, anak-anak ini kerap mengunjungi rumah Sheila Rahman Natarajan dan sudah menjadi seperti ahli keluarganya. (Gambar Sheila Rahman Natarajan)

“(Saya dan jiran-jiran kemudian) tawarkan diri jaga anak-anak ini ketika bapa mereka bekerja,” kata wanita berusia 69 tahun itu.

Sheila menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membantu bapa mereka secara rasmi mengambil anak-anaknya sendiri sebagai anak angkat, agar sijil kelahiran dapat dikeluarkan.

Bagaimanapun, anak-anak itu tidak mempunyai status warganegara.

“Kami sudah buat permohonan (kerakyatan) untuk kelima-lima mereka lebih setahun lepas, tetapi prosesnya bukan mudah,” kata Sheila.

Transformasi 7 tahun

Sepanjang tujuh tahun lepas, anak-anak itu kerap mengunjungi rumah Sheila, malah dua antara mereka, yang paling tua, mempunyai bilik sendiri dan sudah menjadi seperti ahli keluarga wanita itu.

Bagaimanapun, menurut Sheila, bukan mudah baginya memahami mereka.

Salah seorang daripada anak-anak itu gembira menerima hadiah daripada suami Sheila, Abdul Rahman Ishak.

“Saya dan suami perlu ajar mereka cara gunakan tandas. Mereka tidak akan ambil atau makan apa-apa yang tidak diberikan kepada mereka. Mereka tidak tahu bagaimana memiliki sesuatu.”

“Kini mereka dah OK. Apabila lapar, mereka buka peti sejuk dan terus makan,” katanya.

Sheila dan suaminya, Abdul Rahman Ishak, juga pernah membawa anak-anak itu bercuti ke Pulau Pinang, di mana mereka melihat laut buat kali pertama, pengalaman yang mengujakan bagi mereka.

Bangga jadi ‘rakyat’ Malaysia

Walaupun anak-anak itu, kini berusia antara 11 hingga 18 tahun, tidak mempunyai status warganegara, Sheila berkata, mereka bangga mengaku Malaysia tanah air mereka, di mana mereka lahir dan menetap selama ini.

“Mereka suka pakai baju bertema bendera Malaysia, selain boleh bertutur bahasa kebangsaan, itu bahasa utama mereka. (Salah seorangnya) malah meminati pasukan Johor Darul Takzim (JDT),” katanya.

Sheila menzahirkan harapan agar komuniti tanpa kerakyatan di Malaysia diberikan sokongan.

Sheila Rahman Natarajan bersama lima anak-anak itu dan bapa mereka, Ee Sun Seng. (Gambar Sheila Rahman Natarajan)

“(Permohonan kewarganegaraan) perlu diproses lebih cepat, terutamanya dengan prerogatif menteri. Ini tentang anak-anak (yang berhak) mendapat peluang berbakti kepada negara.

“(Keadaan) ini sangat menyedihkan, dan saya harap lebih banyak boleh kita lakukan untuk anak-anak ini,” katanya.

Mengiktiraf dedikasinya yang luar biasa, Sheila, seorang bekas wartawan, diberi Anugerah Muhibbah Kelab Akhbar Nasional-MacroKiosk pada 31 Okt, meraikan sumbangannya dalam mengubah kehidupan lima anak-anak ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.