‘Pintu’ kewarganegaraan tak tertutup bagi anak terdampar, kata Saifuddin

‘Pintu’ kewarganegaraan tak tertutup bagi anak terdampar, kata Saifuddin

Anak-anak terdampar yang bukan lagi bayi juga masih boleh memohon kerakyatan mengikut Perkara 15A Perlembagaan, kata menteri itu.

Saifuddin Nasution Ismail berkata, kelahiran seseorang anak perlu segera didaftarkan, dengan tarikh anak terdampar dijumpai dianggap sebagai tarikh lahir mereka.
PETALING JAYA:
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peluang anak-anak terdampar untuk memperoleh kewarganegaraan masih belum tertutup asalkan kelahiran mereka didaftarkan sejurus mereka dijumpai.

Saifuddin berkata, mengikut Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957, pihak yang mengetahui kelahiran seseorang anak perlu segera mendaftarkannya, dengan tarikh anak terdampar dijumpai dianggap sebagai tarikh lahir mereka.

“Kalau kita tahu akta menghendakinya, segera lapor kepada siapa? Polis. Kemudian, hantar ke hospital. Oleh kerana (bayi) dijumpai, hantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Untuk dapatkan kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang, mesti sediakan laporan polis, hospital and Jabatan Kebajikan,” katanya selepas sebuah acara hari ini.

Saifuddin diminta mengulas kritikan sebuah NGO mengenai pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan yang mungkin “menyekat laluan kewarganegaraan” bagi anak-anak tanpa kerakyatan atau terdampar.

Tahun lepas, kerajaan mencadangkan lapan pindaan kepada peruntukan kewarganegaraan dalam Perlembagaan, termasuk pemberian kewarganegaraan kepada anak tanpa kerakyatan dan anak terdampar.

Pindaan itu membabitkan Jadual Kedua, Bahagian II, Perkara 1(e), yang pada masa ini memastikan kewarganegaraan bagi setiap individu tanpa kerakyatan yang dilahirkan di Malaysia, melalui kuat kuasa undang-undang.

Bagi anak-anak terdampar yang bukan lagi bayi, Saifuddin berkata, mereka masih boleh memohon kewarganegaraan mengikut Perkara 15A Perlembagaan.

Menurutnya, Perkara 15A merangkumi permohonan kewarganegaraan secara pendaftaran bagi anak luar nikah, anak angkat, serta anak terdampar yang bukan lagi bayi.

“Jadi apakah mereka dapat kewarganegaraan? Ya. Pintu tak ditutup,” katanya.

Saifuddin berkata, terdapat beberapa kejadian yang mana ibu bapa menjumpai anak terdampar memperoleh sijil kelahiran palsu bagi mereka, kadangkala melibatkan sindiket.

“Kes-kes macam ini dikesan apabila (anak-anak sudah berusia) 12 tahun, hendak dapatkan MyKad. Apabila sijil lahir dikemukakan, tiada dalam sistem,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya faham cabaran dihadapi dalam kes-kes melibatkan anak-anak yang ditinggalkan di “baby hatch”, atau anak-anak yang dilahirkan di hospital kerajaan kepada ibu bapa yang salah seorangnya warga asing dan mereka tidak berkahwin secara sah.

Penyokong PH bantah pindaan

Dua penyokong Pakatan Harapan (PH) turut mengkritik pindaan yang menjejaskan nasib anak-anak terdampar itu.

Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang Hassan Karim berkata, kerajaan tidak mempunyai sebab untuk meminda peruntukan memberikan kewarganegaraan kepada anak terdampar.

Berikrar untuk membantah pindaan itu apabila dibentangkan di Dewan Rakyat, beliau berkata, negara mempunyai kewajipan moral untuk melindungi anak terdampar kerana mereka ialah mangsa pengabaian ibu bapa.

Sementara itu, Ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata, “tidak logik dan tidak munasabah” untuk memaksa anak terdampar melalui birokrasi proses pendaftaran yang panjang dan tidak menentu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.