Ibu mangsa buli di sekolah asrama penuh mahu pelaku disingkir

Ibu mangsa buli di sekolah asrama penuh mahu pelaku disingkir

Wanita itu berkata kejadian itu menyebabkan anaknya terpaksa dirawat di hospital akibat mengalami kecederaan groin.

Ibu mangsa berkata anaknya dan beberapa pelajar Tingkatan 4, diserang pelajar senior seperti ‘sukan ragbi’ dan turut dipijak berkali-kali. (Gambar Fail)
PETALING JAYA:
Ibu kepada seorang pelajar Tingkatan 4 sebuah sekolah berasrama penuh di Perak menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap sekumpulan pelajar senior yang membuli anaknya itu pada bulan lalu sehingga mangsa terpaksa mendapat rawatan di hospital.

Wanita itu yang enggan dikenali berkata, tindakan beberapa pelajar membuli anaknya itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan mahu mereka dikenakan tindakan dibuang sekolah.

“Mengapa pihak sekolah yang tidak menggunakan polisi menyingkirkan pelajar yang memukul pelajar lain. Mereka ini membahayakan pelajar lain terutama sekali di asrama,” katanya kepada FMT.

Katanya, dalam kejadian pada malam 24 Sept lalu itu, sekumpulan pelajar Tingkatan 5 menggumpulkan kira-kira 100 pelajar Tingkatan 4 sebelum menjatuhkan mereka seperti “sukan ragbi”.

Menurutnya, anaknya yang berada di barisan tengah terjatuh sebelum dipijak berkali-kali di celah kangkang oleh pelajar senior berkenaan. Tambahnya, beberapa pelajar lain turut cedera dalam kejadian itu.

Katanya, susulan kejadian itu anaknya mengalami kecederaan groin dan terpaksa dirawat di hospital selama sehari.

Tambahnya, satu laporan polis juga dibuat oleh doktor yang merawat anaknya itu dan keterangan mereka juga sudah dirakam.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Kangsar Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi FMT mengesahkan kejadian itu, dan berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan.

“Doktor yang merawat pelajar itu mengesahkan mangsa tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.

Menurutnya, kertas siasatan kes terbabit telah dirujuk ke IPK Perak pada 20 Okt untuk tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.