Cip kasino bernilai lebih RM4.6 juta dicuri di Genting Highland

Cip kasino bernilai lebih RM4.6 juta dicuri di Genting Highland

Ketua Polis Bentong Zaiham Mohd Kahar berkata, sejumlah cip dilarikan selepas sebuah bilik di kasino itu dipecah masuk.

Ketua Polis Bentong Zaiham Mohd Kahar berkata, kecurian sejumlah cip kasino bernilai lebih RM4.6 juta dilaporkan berlaku pada 28 Oktober lalu. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Polis menyiasat laporan kecurian sejumlah cip kasino bernilai lebih RM4.6 juta dari kasino di Genting Highlands di Bentong, Pahang.

Ketua Polis Bentong Zaiham Mohd Kahar berkata, kecurian sejumlah cip kasino itu dilaporkan berlaku pada 28 Oktober lalu, lapor Harian Metro.

“IPD Bentong mengesahkan menerima laporan berkaitan kecurian cip kasino daripada pihak pengurusan keselamatan kasino Genting Highlands pada jam 6.30 petang, Sabtu lalu.

“Laporan itu dibuat berkaitan sebuah bilik kasino dipecah masuk dan cip kasino bernilai lebih RM4.6 juta dilarikan,” katanya.

Zaiham berkata, ketika ini bahagian siasatan jenayah IPD Bentong masih menjalankan siasatan termasuk mengesan suspek yang terbabit dalam kes berkenaan.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana memecah masuk dan mencuri.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi IPD Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.