Bukit Fraser ‘syurga’ pencinta alam

Bukit Fraser ‘syurga’ pencinta alam

Tertekan dengan kehidupan di bandar? Nikmati ketenangan di resort Pahang yang indah dan mendamaikan.

Para peserta Perlumbaan Burung Antarabangsa 2023 tersenyum lebar selepas selesai dengan aktiviti di Bukit Fraser. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)
PETALING JAYA:
Kehidupan di bandar sering kali terasa sangat mencabar dengan faktor-faktor seperti tekanan daripada pekerjaan, kesesakan lalu lintas harian, dan cuaca panas serta lembap yang teruk.

Sekiranya anda ingin lari sebentar dari kehidupan yang sibuk di bandar dan menikmati percutian yang lebih menenangkan, kunjungi Bukit Fraser yang juga dikenali sebagai Fraser’s Hill.

Ini merupakan tempat percutian terbaik tepat bagi pengunjung yang ingin berundur dari kesibukan harian dan melangkah ke suasana damai pada hujung minggu.

Destinasi pelancongan yang terkenal di Pahang ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang bertumpukan kepada keindahan alam semula jadi, menjadikannya pilihan tepat buat penggemar aktiviti luar dan pencinta burung.

Pada Jun lalu, FMT Lifestyle telah menghadiri Perlumbaan Burung Antarabangsa yang menghimpunkan jurugambar dari seluruh dunia dengan satu matlamat – merakam dan mengenal pasti seberapa banyak jenis spesis burung yang terdapat di sini!

Bukit Fraser merupakan syurga tanah tinggi bagi lebih 250 spesis burung dan dikatakan destinasi terbaik untuk memerhati burung di rantau ini. Tahun ini menyaksikan penganjurannya buat kali ke-34 di sini.

Peminat burung pasti teruja dengan lebih 250 spesis burung di Bukit Fraser. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)

“Kami amat teruja untuk menerima peserta dari sembilan negara termasuk China, India, Filipina, dan banyak lagi ke Bukit Fraser,” kata Naib Pengerusi Asia Council of BirdLife International (BIA) Asia Tenggara, Henry Goh.

Seorang peserta dari Taiwan yang menghidap asma berkongsi kesan positif aktiviti memerhati burung pada kehidupannya.

“Sejak saya menjadi sukarelawan pemeliharaan hutan di negara saya, dan lebih mendekati alam melalui aktiviti memerhati burung, keadaan saya semakin baik,” kata Ann Huang, yang memuji langkah melindungi habitat semulajadi burung di Bukit Fraser.

Natthaphat Chotjuckdikul dari Thailand juga mempunyai perkongsian positif tentang Bukit Fraser. “Saya gembira apabila mereka mengehadkan bilangan bangunan dan memelihara hutan di sini dengan baik, membolehkan kami mendokumenkan bilangan burung yang lebih besar.”

Sekiranya anda baru sahaja berjinak dengan aktiviti ini, Bukit Fraser adalah tempat yang terbaik untuk memulakannya. Tetapi bukan itu sahaja yang anda akan dapati di sini!

Mengembara denai di Bukit Fraser adalah antara cara terbaik mendekatkan diri dengan alam semulajadi. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)

Kembara denai dan jejak malam

Sekiranya anda kurang berminat dengan aktiviti memerhati burung, anda boleh cuba aktiviti mendaki di sini.

Dengan enam laluan pendakian yang berbeza, pengalaman mendaki di sini adalah sesuai untuk semua – sama ada anda seorang pemula yang mahu mencuba mendaki atau seorang yang sudah berpengalaman.

Sepanjang pendakian, anda boleh melihat kepelbagaian flora dan fauna yang terdapat di sini sambil menjalani aktiviti yang menyihatkan badan.

Denai di Bukit Fraser menawarkan pengalaman luar biasa pada waktu malam. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)

Sekiranya anda seorang yang berani dan sukakan cabaran, aktiviti jejak malam di denai yang sama juga sangat sesuai untuk anda.

Di sini, anda akan dapat nikmati bayu lembut dengan iringan irama mergastua yang hanya boleh dirasai pada waktu malam.

Menunggang kuda pada waktu pagi aktiviti terbaik untuk memulakan hari anda.(Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)

Kuda dan memanah

Selain aktiviti memerhati burung, anda boleh sertai kursus menunggang kuda ringkas di The Paddock yang terletak di Valley Road.

Bagi yang pertama kali menunggang kuda, anda tidak perlu risau kerana anda akan diiringi jurulatih atau operator sepanjang sesi tersebut.

Selain itu, terdapat juga lapang sasar di tebing bukit jika anda berminat untuk mencuba aktiviti sukan memanah.

Luangkan masa bersama pasangan, kawan-kawan dan itik di Allan’s Water. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)

Mengayuh bot ditemani itik dan ikan

Jika anda inginkan aktiviti bersantai dalam suasana yang tenang, singgah sebentar di Allan Water di Jalan High Pines. Di tasik yang luas ini, anda boleh memberi makanan kepada itik dan ikan.

Di samping itu, pengunjung juga boleh melakukan aktiviti riadah seperti mengayuh bot berpedal dikelilingi pemandangan hijau yang indah lagi menenangkan.

Dengan itu, aktiviti-aktiviti ini dapat membantu anda untuk menghilangkan tekanan dan menghayati keindahan alam semula jadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.