Yayasan Didik Negara bawah KPM sumbang bantuan RM50,000 kepada Palestin

Yayasan Didik Negara bawah KPM sumbang bantuan RM50,000 kepada Palestin

Sumbangan berupa susu bayi dan mainan kanak-kanak itu diserahkan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek malam tadi.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bersama Duta Palestin Walid Abu Ali meninjau sumbangan rakyat Malaysia yang dikumpul di Pusat Gudang Mapim malam tadi. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Yayasan Didik Negara bawah seliaan Kementerian Pendidikan (KPM) menyumbang pelbagai barangan bantuan kemanusiaan bernilai RM50,000 untuk disalurkan kepada rakyat Palestin.

Sumbangan berupa susu bayi dan mainan kanak-kanak itu diserahkan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di sebuah gudang yang menjadi pusat pengumpulan barangan bantuan kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) di sini malam tadi.

Bantuan berkenaan akan disalurkan kepada penduduk Palestin menerusi Ops Ihsan.

“Saya tidak dapat tahan sebak apabila tengok barangan mainan sebab terkenang nasib anak-anak kecil di bumi Palestin,” kata Fadhlina.

“Mudah-mudahan barangan ini sampai kepada anak-anak di sana, yang sekurang-kurangnya memberi kegembiraan kepada mereka.”

Ditanya mengenai perbualan beliau bersama Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali yang turut hadir ke gudang berkenaan, Fadhlina dalam nada sebak berkata, beliau tidak dapat menahan air mata mendengar ucapan penghargaan daripada Walid atas keprihatinan rakyat negara ini terhadap rakyat Palestin.

“Beliau (Walid) ucap terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia dan perhargaan tidak terhingga atas kesudian menderma secara bertali arus,” katanya.

Sementara itu, Jawatankuasa Operasi Ops Ihsan Syahrir Azfar Salleh berkata, persiapan bagi penghantaran pertama barangan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin kini siap sepenuhnya dan sudah bersedia untuk dihantar melalui Lapangan Terbang Antarabangsa El Arish, Mesir malam ini.

Penghantaran pertama itu membabitkan keperluan perubatan dan barangan lain sebanyak 20 tan, disusuli penghantaran kedua sebanyak 30 tan yang dijadual pada 10 Nov ini.

Media sebelum ini melaporkan 50 tan barangan bantuan kemanusiaan bernilai RM7 juta berjaya dikumpul menerusi Ops Ihsan, yang diselia oleh 49 NGO.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.