Sultan Nazrin berkenan jamu 7,100 banduan di Perak

Sultan Nazrin berkenan jamu 7,100 banduan di Perak

Hidangan makan tengah hari dari pembiayaan Sultan Nazrin sendiri itu sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-67 hari ini.

Hidangan makanan kepada tahanan di penjara, pusat koreksional dan pusat pemulihan akhlak di Perak itu adalah atas sifat prihatin dan ihsan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah. (Gambar Bernama)
IPOH:
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan membiayai hidangan makanan tengah hari kepada 7,100 banduan dan tahanan yang sedang menjalani hukuman di penjara, pusat koreksional dan pusat pemulihan akhlak di negeri ini sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-67 hari ini.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Mohd Zahidi Zainuddin pada sidang media memaklumkan hidangan dari pembiayaan Sultan Nazrin sendiri itu adalah atas sifat prihatin dan ihsan baginda terhadap kebajikan banduan dan tahanan terbabit.

Beliau berkata sumbangan hidangan makanan tengah hari itu akan dibuat di Penjara Tapah, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting dan Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah, dan akan dikelolakan oleh pihak Jabatan Penjara Perak.

“Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja akan mewakili baginda di Penjara Taiping manakala Orang Kaya Menteri Paduka Tuan akan mewakili baginda di Pusat Koreksional Kamunting.

“Orang Kaya-Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa Diraja akan mewakili Baginda di Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah, dan YDH Toh Paduka Indera akan mewakili baginda di Penjara Tapah,” katanya di sini.

Katanya makanan akan dihidang dalam bentuk buffet dan agak istimewa berbanding makanan biasa mereka.

Terdahulu, beliau memaklumkan Sultan Nazrin juga berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak kepada 238 penerima sempena sambutan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.