Polis mahu NGO kutip derma dikawal selia kerajaan

Polis mahu NGO kutip derma dikawal selia kerajaan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ramli Yoosuf berkata NGO patut menyerahkan laporan tahunan dan diaudit bagi memastikan sumbangan sampai kepada penerima.

Polis berkata terdapat banyak aduan di media sosial berhubung sumbangan kepada NGO tidak sampai kepada penerima disasarkan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis mahu NGO mengutip dana bagi tujuan kemanusiaan diperiksa dan diaudit susulan aduan di sosial media berhubung kesahihan sesetengah kumpulan itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Ramli Yoosuf, berkata NGO itu patut dikawal selia agensi kerajaan bagi memastikan dana dikutip sampai kepada penerima disasarkan.

“Terdapat aduan di media sosial berhubung sumbangan tidak sampai kepada penerima dan dalam beberapa kes, tiada petunjuk berapa banyak disimpan NGO itu dan disampaikan kepada penerima,” katanya dalam sidang media sambil menambah banyak NGO ditubuhkan atas agenda tertentu.

Bagi membendung masalah itu, Ramli berkata NGO terbabit perlu mengemukakan laporan tahunan dan diaudit secara menyeluruh untuk mengesan ke mana dana berkenaan.

Ketika ini, pendaftaran NGO terletak bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

Ramli berkata, beliau tidak bersetuju NGO menggunakan sebahagian dana disumbangkan itu untuk menampung kos pentadbiran mereka.

“Jika NGO itu hanya terdiri daripada 10 individu dan mereka mengutip jutaan ringgit, berapa banyak mereka akan dapat jika mengambil 30% daripada jumlah itu sebagai kos pentadbiran mereka?

“Amalan ini perlu dikaji semula dan peraturan perlu ditetapkan.”

Dalam perkembangan lain, Ramli berkata 810 mangsa penipuan cinta direkodkan dari Januari hingga Oktober tahun ini, dengan 644 daripadanya adalah wanita.

Seramai 307 daripada 644 wanita itu berusia 31 hingga 50 tahun, dengan kebanyakannya sudah berkahwin.

“Sekarang, polis ada ‘tugas tambahan’ kerana ada antara mereka merayu kami tidak mendedahkan kes itu kepada pasangan mereka. Nasihat saya kepada orang ramai, berhati-hatilah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.