
Bagaimanapun, jika pelatih yang dipilih tidak dapat menyertai latihan atas sebab dibenarkan, mereka boleh memohon penangguhan.
“Had maksimum untuk menjadi pelatih adalah sehingga umur 35 tahun,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, pemilihan pelatih untuk menyertai PLKN adalah berdasarkan tahun kelahiran tertentu mengikut bila program tersebut dilaksanakan.
“Sebagai contoh, sekiranya PLKN dilaksanakan pada 2024, maka hanya remaja yang lahir pada 2007 akan dipanggil untuk menjalani latihan tersebut,” katanya.
Akta Latihan Khidmat Negara 2003 menetapkan umur pelatih yang wajib menjalani program itu antara 16 hingga 35 tahun.
Menurut kenyataan itu, secara dasarnya kerajaan bersetuju untuk memperkenalkan semula program tersebut dengan kaedah baharu PLKN 3.0
Baru-baru ini, warganet melahirkan kebimbangan kemungkinan mereka yang berusia lingkungan 30-an diwajibkan menyertai program itu apabila PLKN secara rasmi diperkenalkan semula.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan Mohamad Hasan berkata cadangan meneruskan semula PLKN mungkin menelan belanja tidak lebih RM100 juta setahun berbanding RM500 juta sebelum ini.
Program itu sebelum ini dikritik banyak pihak dan dimansuhkan kerajaan Pakatan Harapan pada 2018.