Tikam mati warga emas, suami isteri direman bantu siasatan

Tikam mati warga emas, suami isteri direman bantu siasatan

Semalam wanita berusia 65 tahun ditikam 15 kali dipercayai didorong rasa tidak puas hati berkait pembahagian keuntungan perniagaan.

Anggota forensik menjalankan siasatan berhubung penemuan mayat seorang wanita dengan 15 kesan tikaman dalam longkang berhampiran Pejabat Agama Hulu Terengganu, semalam. (Gambar Bernama)
MARANG:
Sepasang suami isteri direman seminggu mulai hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kes bunuh warga emas di Kuala Berang dekat Hulu Terengganu, semalam.

Perintah reman hingga 8 Nov terhadap mereka dikeluarkan Majistret Nur Azureen Zainalkefli di Mahkamah Majistret Marang bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

Semalam, Bernama melaporkan seorang wanita berusia 65 tahun ditemukan maut dengan 15 kesan tikaman di badannya di dalam longkang di tepi jalan besar berhadapan Pejabat Agama Hulu Terengganu di Kuala Berang dekat Hulu Terengganu, pada 4.35 pagi.

Ketua Polis Terengganu Mazli Mazlan, dilaporkan berkata mangsa yang merupakan pesara kerajaan bersama-sama seorang wanita dipercayai rakan kongsi perniagaannya yang bekerja sebagai tukang jahit, menaiki sebuah kereta jenis Honda Jazz sebelum berlaku pertengkaran antara mereka dipercayai rasa tidak puas hati berhubung pembahagian keuntungan perniagaan.

Mangsa kemudian dikatakan keluar dari kenderaan itu sebelum dilanggar wanita berusia 35 tahun berkenaan yang selepas itu bertindak menikam mangsa 15 kali di bahagian badan menggunakan sebilah pisau pemotong daging.

Sehubungan itu, polis menahan suspek di rumahnya di Wakaf Tapai, di sini, pada hari sama sebelum menahan suaminya yang berumur 37 tahun dan bekerja sebagai mekanik selaku pemilik kenderaan yang digunakan untuk melanggar mangsa, bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.