
Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata 97 individu berusia 20 hingga 47 tahun ditahan pasukan dari IPK Perak dan IPD Manjung untuk disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Katanya, mereka terdiri 65 lelaki dan 29 wanita Vietnam serta sepasang warga China.
“Turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun. Semua suspek disyaki terlibat sindiket pelaburan tidak wujud.
“Kejayaan ini merupakan hasil kerjasama orang ramai yang menyalurkan maklumat mengenai aktiviti mencurigakan,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan kerana sebahagian warga asing ditahan itu tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Katanya, wang tunai berjumlah RM51,254, 120 telefon bimbit, tiga komputer riba, dua modem dan buku nota dirampas.