Markas tentera laut akan dibina lindungi lapangan gas, Beting Patinggi Ali

Markas tentera laut akan dibina lindungi lapangan gas, Beting Patinggi Ali

Beting Patinggi Ali dilaporkan kawasan sering diceroboh kapal China sejak 2013.

Menteri Pertahanan Mohamad Hasan berkata pihak kementerian turut akan membina markas tentera udara di kawasan lapangan terbang Bintulu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pembinaan Pangkalan tentera laut baharu, Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) di Samalaju, Bintulu, akan dimulakan sejurus menerima surat rasmi kerajaan Sarawak.

Menteri Pertahanan, Mohamad Hasan, berkata Bintulu merupakan kawasan strategik serta berdekatan dengan kawasan Lapangan Gas Kasawari dan Beting Patinggi Ali di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Laut China Selatan.

“Adalah penting perairan negara kita diperkasakan. Selain itu, kementerian juga memutuskan untuk membina markas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di kawasan lapangan terbang Bintulu.

“Dengan pertumbuhan kekuatan pertahanan negara di kawasan utara Sarawak, ia jelas menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan kawasan pesisir pantai, laut, sempadan negara, dan udara sentiasa berada dalam keadaan kesiapsiagaan,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Abang Johari Openg, di Wisma Bapa Malaysia, Kuching.

Pada 25 Jan lalu, Mohamad berkata penting untuk negara meletakkan aset ketenteraan di kawasan perairan Beting Patinggi Ali sebagai langkah “doctrine of estoppel” (menghalang pihak luar menuntut).

Pada 13 Mac lalu, Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim mahu kerajaan mengambil tindakan tegas pencerobohan sekian lama sejak 2013 oleh kapal China di Beting Patinggi Ali.

Beliau menggesa kerajaan mengambil langkah serius menangani keberadaan kapal China itu yang disifatkannya sebagai satu bentuk pencerobohan dan bukan dengan menghantar nota diplomatik semata-mata.

Mohamad berkata, perkara lain turut dibincangkan bersama Abang Johari semasa pertemuan tersebut termasuk pembinaan Markas Briged Ke-31 Infantri, Rejimen Sempadan (RS) serta pembinaan pos kawalan sempadan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.