Bersedia terima pelarian Palestin, MAPIM sokong gesaan ratifikasi konvensyen

Bersedia terima pelarian Palestin, MAPIM sokong gesaan ratifikasi konvensyen

MAPIM berpendapat ratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967 perlu untuk menyantuni keperluan pelarian termasuk dari Palestin.

Pelarian dari Palestin dijangka meningkat susulan perang yang mungkin memerlukan Malaysia bersedia menjadi negara penerima. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Sebuah NGO menyokong gesaan supaya Putrajaya meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967 sebagai persediaan menguruskan pelarian termasuk dari Palestin.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia berkata kedatangan pelarian dari negara itu yang mungkin memilih Malaysia tidak boleh dielakkan susulan tiada perubahan situasi perang di Semenanjung Gaza walaupun ada desakan gencatan senjata.

Minggu lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima resolusi menyeru kepada gencatan senjata segera dan berkekalan antara tentera Israel dan Hamas di Gaza.

Menurut presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid, kerajaan perlu bersedia dari sudut undang-undang untuk mengelakkan situasi pelarian tidak terurus berlaku sebelum ini yang memberi kesan kepada ekonomi, sosial, dan keselamatan.

Mohd Azmi Abdul Hamid.

“Meratifikasi dokumen itu akan membolehkan pihak komuniti antarabangsa membantu mencari penyelesaian kepada aliran pelarian ke Malaysia,” katanya kepada FMT.

“Malaysia perlu mewujudkan dasar jelas menyantuni keperluan pelarian”.

Bulan lalu, seorang aktivis PKR Yuslaini Azmi menggesa kerajaan menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 untuk memberi hak kepada pelarian perang termasuk dari Palestin.

Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967 sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian seperti bekerja serta menerima pendidikan.

Mengikut Akta Imigresen, pelarian dianggap pendatang tanpa izin dan berisiko ditangkap dan dihantar pulang ke negara asal.

Bekas menteri luar Syed Hamid Albar pula berpendapat buat masa ini fokus utama Malaysia perlu bersama komuniti antarabangsa lain mendesak supaya serangan Israel ke atas Palestin dihentikan.

Syed Hamid Albar.

Menurutnya, walaupun kerajaan tidak meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951, banyak bentuk bantuan lain boleh diberi untuk melindungi pelarian termasuk daripada Palestin.

“Kerajaan akan tengok dari kepentingan nasional dan tanggungjawab sebagai ahli PBB tanpa menjejaskan keselamatan…kita tengok di Asean hanya dua tiga negara sahaja yang meratifikasi Konvensyen Pelarian,” katanya.

Pada 2018 Syed Hamid mengumumkan keputusan dibuat Jawatankuasa Khas Malaysia Mengenai Kemanusiaan dan Pusat Rohingya ASEAN yang menggesa kerajaan meratifikasikan Konvensyen Pelarian 1951.

Mohd Mizan Aslam.

Sementara itu, pensyarah hal ehwal antarabangsa dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Mohd Mizan Aslam berkata kerajaan perlu mengambil kira kesan dan kedaulatan negara sebelum meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951.

Beliau juga bimbang sekiranya pelarian daripada Palestin dibawa ke Malaysia akan menyebabkan misi mempertahankan tanah air mereka terjejas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.