
Hakim Hadhariah Syed Ismail yang mempengerusikan panel tiga hakim berkata, Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam undang-undang dan fakta menolak saman Apandi pada 23 Mei tahun lalu.
“Lim berjaya membangkitkan justifikasi pembelaan dan komen berpatutan untuk menangkis saman itu,” kata Hadhariah, yang bersidang bersama Hakim M Gunalan dan Azmi Ariffin.
Mahkamah juga mengarahkan Apandi membayar kos RM100,000 kepada Lim.
Hadhariah berkata, skandal kewangan 1MDB mencetuskan fenomena kerana melibatkan dana awam selain terkait dengan perdana menteri ketika itu, Najib Razak.
“Ia dianggap skandal kewangan terbesar didepani negara. Sebagai Ahli Parlimen yang mementingkan integriti, ketelusan, dan kebertanggungjawaban, beliau (Lim) mempunyai tanggungjawab moral membangkitkan perkara itu,” katanya.
Beliau berkata, Apandi, ketika menjadi peguam negara ketika itu, diberi amanah dengan kuasa untuk mengarahkan siasatan bagi menyiasat kes berkenaan dan mendakwa mereka bertanggungjawab tanpa pilih kasih.
“Namun sebaliknya, plaintif (Apandi) cuba menghalang dan menghentikan siasatan skandal 1MDB.
“Tindakannya dan ketiadaan tindakan sememangnya tidak munasabah dan tidak menepati jangkaan awam,” katanya.
Hadhariah berkata, Apandi gagal mengemukakan keterangan menyokong dakwaannya bahawa beliau tidak “membantu dan bersubahat” dengan Najib dalam skandal itu.
Hakim berkata, mahkamah menerima maksud kecil diberikan Lim berkait terma “membantu dan bersubahat”, iaitu Apandi telah menggunakan kedudukannya untuk menutup skandal berkenaan.
Justeru, terma terbabit tidak memfitnah Apandi, katanya.
Terdahulu, peguam Sangeet Kaur Deo, berkata Lim berjaya membuktikan pembelaan justifikasi utama dan perlindungan bersyarat.
Katanya, alasan rayuan dikemukakan Apandi dibuat tanpa asas.
Sangeet berkata, mahkamah tidak boleh menafikan fakta bahawa Apandi, sebagai peguam negara memainkan peranan kritikal dalam siasatan skandal 1MDB.
Beliau berkata, keengganan bertindak dalam bentuk sebenar-benarnya mencadangkan beliau cuba berselindung.
“Keterangan terhadap kegagalan begitu banyak dalam perbicaraan, terutama menerusi keterangan dua saksi dan Apandi sendiri,” kata Sangeet yang turut dibantu Simranjit Kaur.
Peguam Rueben Mathiavaranam, yang mewakili Apandi, berhujah Lim “gagal dengan teruk” untuk menjustifikasi maksud alternatif yang dikemuka bagi frasa “membantu dan bersubahat” yang digunakan dalam artikelnya.
Lim menerbitkan artikel berjudul “Dangerous fallacy to think Malaysia is on the road to integrity”, yang disiarkan Malaysiakini.
Dalam saman RM10 juta difailkan pada 2019, Apandi mendakwa kenyataan Lim menggambarkannya sebagai individu tidak bermoral dan tidak beretika, tanpa integriti dan telah menyalahgunakan kuasanya ketika menjadi peguam negara.