Perlu sesuaikan harga makanan jika ayam naik, kata peniaga

Perlu sesuaikan harga makanan jika ayam naik, kata peniaga

Penyesuaian harga makanan bergantung kenaikan harga ayam di pasaran, kata peniaga selepas penamatan subsidi dan kawalan harga mulai hari ini.

Sebelum ini kerajaan menetapkan harga kawalan ayam pada RM9.40 sekilogram. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Beberapa pengusaha kedai makan ditemui mengakui ada kemungkinan harga makanan perlu disesuaikan seiring peningkatan harga ayam apabila subsidi dan kawalan harga ditamatkan.

Seorang peniaga di medan selera sebuah pusat membeli belah di ibu kota, Intan Muhammad, 39, berkata sebarang penyesuaian bergantung kepada peratusan kenaikan harga ayam di pasaran.

“Kita kena naikkan sebab kat situ kita punya keuntungan. Kalau ayam naik 20%, kita kena naikkan 20% juga harga kita… Kalau ayam naik 10%, kena naik 10% lah. Kalau selama ni jual RM10, kena lah jual RM11,” katanya kepada FMT.

Intan juga merasakan penamatan subsidi dan kawalan harga ayam yang berkuat kuasa hari ini tidak sesuai buat masa sekarang ketika kerajaan sedang menilai kenaikan gaji penjawat awam.

Ketika membentangkan Belanjawan 2024, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pertimbangan untuk mengapungkan harga ayam bagi membolehkan pasaran tempatan berfungsi semula dengan bebas dalam memastikan keterjaminan bekalan di pasaran.

Kelmarin, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu menjelaskan penamatan harga kawalan ayam bermula hari ini untuk menyokong kemampanan industri pengeluaran ayam tempatan.

Sebelum ini, harga kawalan ayam ditetapkan pada RM9.40/kg.

Sementara itu, seorang peniaga sate di Klang, Syafiq Samad, 34, mengakui beliau pernah menaikkan harga jualan sebanyak empat kali dalam tempoh enam bulan disebabkan kenaikan harga ayam pada 2021.

“Kita terpaksa naik sebab kita tak boleh nak tanggung kos… nak bayar pekerja lagi. Masa tu juga baru mula kuatkuasa gaji minimum. Kalau yang ini ada kenaikan… bergantung harga pasaran,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.