
Lesen MYAirline digantung oleh badan kawal selia industri penerbangan itu serta-merta kerana penjelasan syarikat terbabit kepada surat tunjuk sebab bulan lepas “tidak memuaskan”.
“Mavcom juga mempertimbangkan pembatalan ASL MYAirline, namun begitu ianya akan memberi kesan kepada usaha untuk memulakan bayaran balik kepada penumpang yang terjejas,” kata Pengarah Eksekutif Saripuddin Kasim.
Mavcom membuka siasatan terhadap MYAirline dan mengeluarkan tunjuk sebab pada 13 Okt, selepas syarikat itu mengumumkan penggantungan operasi pada 12 Okt kerana tekanan kewangan.
Surat berkenaan menyatakan kegagalan MYAirline memenuhi syarat-syarat ASL, termasuk pembayaran gaji dan faedah pekerja yang belum dijelaskan.
Sementara itu, Mavcom berkata MYAirline masih bertanggungjawab untuk membuat bayaran balik terhadap penumpang-penumpang yang terjejas, walaupun lesen digantung.
Badan itu menganggarkan lebih 117,000 penumpang terjejas akibat penggantungan operasi MYAirline, dengan nilai jualan hadapan keseluruhan berjumlah lebih daripada RM22 juta untuk penerbangan berjadual dari 12 Oktober 2023 hingga 31 Mac 2024.
Mavcom berkata pasukan petugasnya memiliki mandat untuk melihat isu bayaran balik penumpang yang terjejas dan memberikan cadangan mengenai langkah seterusnya.
“Ini termasuk penyelarasan mekanisme perlindungan pengguna penerbangan. Sementara itu, Mavcom akan terus bekerjasama dengan Bank Negara bagi mencari penyelesaian buat penumpang yang terjejas untuk mendapatkan wang mereka kembali,” kata Saripuddin.