Malaysia mesti melabur dalam pengajaran bahasa asing, kata Ahli Parlimen

Malaysia mesti melabur dalam pengajaran bahasa asing, kata Ahli Parlimen

Teresa Kok berkata, tenaga kerja mesti boleh berfungsi dalam bahasa-bahasa selain bahasa Melayu dan Inggeris.

Pelaburan besar asing memerlukan tenaga kerja tempatan agar komunikasi antara pihak-pihak menjadi lebih mudah, menurut Teresa Kok. (Gambar Bernama).
KUALA LUMPUR:
Malaysia mesti lebih berusaha melabur dalam menggalakkan pembelajaran bahasa asing, kata Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Memetik misi Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membawa masuk pelabur asing, Kok berkata, kemahiran banyak bahasa penting untuk memudahkan komunikasi dan perdagangan.

“Dengan Malaysia secara strategik mempunyai salah satu pelabuhan tersibuk dunia di sepanjang Selat Melaka, mustahak untuk tenaga kerja kita menguasai bahasa asing lain selain bahasa Inggeris untuk menjadi lebih lengkap, seperti kebanyakan negara jiran kita,” katanya dalam kenyataan.

Kok berkata, sejak Anwar menjadi perdana menteri pada November 2022, beliau telah membawa masuk lebih RM200 bilion pelaburan hasil 17 lawatan kerjanya, termasuk ke Emiriah Arab Bersatu, Amerika Syarikat, China dan banyak negara lain.

“Pelaburan sebesar ini tentunya memerlukan tenaga kerja tempatan agar komunikasi antara pihak-pihak menjadi lebih mudah,” katanya.

“Malaysia mesti melakukan lebih banyak untuk melabur dalam menggalakkan golongan pelajar dan belia untuk mempelajari bahasa asing, terutamanya yang akan membantu mereka dalam kerja pada masa akan datang, selain turut menguasai bahasa kebangsaan.”

Kok meluahkan rasa kesal kerana pembelajaran bahasa asing alternatif tidak tersedia pada peringkat sekolah rendah dan menengah.

“Pada peringkat universiti (pula), kemungkinan mempelajari bahasa asing terhad pada jabatan linguistik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.