Kejadian buli meningkat, 4,994 kes setakat Oktober

Kejadian buli meningkat, 4,994 kes setakat Oktober

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata, jumlah itu meningkat daripada 3,887 kes pada 2022 dan 326 kes pada 2021.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata, kesemua kes yang dilaporkan tahun ini telah disiasat dan tindakan susulan sudah diambil. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 4,994 kes buli direkodkan di sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) bagi 10 bulan pertama tahun ini, meningkat berbanding 3,887 kes pada tahun lepas.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata, kesemua kes telah disiasat dan tindakan susulan sudah diambil, merangkumi sesi bimbingan dan kaunseling kepada pembuli dan mangsa.

“Berdasarkan data sistem sahsiah diri murid (SSDM) KPM sepanjang tempoh tiga tahun ini, sebanyak 326 kes dilaporkan pada 2021; 3,887 kes pada 2022; dan 4,994 kes sehingga Oktober,” katanya di Dewan Rakyat, menjawab soalan tambahan Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau).

Bakhtiar meminta KPM memperincikan kes buli melibatkan sekolah bawah kelolaannya, dan status bagi setiap kes yang dilaporkan.

Lim berkata, bagi mengurangkan kes buli dalam kalangan pelajar sekolah, keterlibatan semua pihak, termasuk komuniti setempat, NGO dan ibu bapa, diperlukan.

Katanya, KPM juga akan menambah guru kaunseling di sekolah yang kes bulinya meningkat agar gejala tidak sihat itu dapat ditangani segera.

“Mereka (pembuli) mesti diberi kesedaran. Jika kes buli bertambah, kita akan tambah guru bimbingan sebagai tindakan segera,” katanya.

Kes buli terbaru dilaporkan melibatkan sekumpulan murid Darjah 5 di sebuah sekolah di Kuala Krai, Kelantan, yang menendang dan memukul rakannya di belakang sekolah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.