
Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak, pengenalan semula cukai warisan akan menjejaskan kebanyakan ibu tunggal dan keluarga.
Katanya, walaupun dikenakan pada nilai ambang tinggi, peningkatan harga rumah sejak 30 tahun lalu mungkin menyebabkan keluarga berpendapatan tengah (M40) perlu membayar cukai berkenaan.
“Ini boleh memaksa keluarga menjual satu-satunya rumah pusaka mereka, sekali gus menjurus perpecahan.
“Ia juga cukai yang sukar untuk ditadbir. Kita perlu melakukan simulasi dan menggunakan data sebenar untuk menjangka (kesannya) sebelum ia dilaksanakan,” katanya kepada FMT.
Nazari Ismail dari Universiti Malaya, berkata cadangan mengenakan cukai warisan tidak adil memandangkan ia mencukai kekayaan diwarisi, kebiasaannya daripada ibu bapa.
Beliau berkata, cukai warisan akan mewujudkan bebanan tambahan.
“kita mesti mengubah sistem untuk menangani masalah kos sara hidup. Ia tidak dapat diselesaikan dengan memperkenalkan semula cukai warisan,” katanya.
Bekas pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Melaka, Anthony Cho berkata, cukai warisan akan menimbulkan masalah kerana hartanah, barang kemas, dan saham tidak mudah untuk dicairkan.
Cho berkata, Malaysia bukan negara maju selain rakyat bergelut dengan penghidupan mereka.
“Majoriti rakyat Malaysia tidak membayar cukai dan tidak mempunyai tunai yang banyak,” katanya.
“Pasaran hartanah bergelut kerana ketidaktentuan ekonomi. Mengenakan cukai warisan akan menjauhkan pembeli dan ibu bapa daripada melabur dalam hartanah kerana ketidakstabilan,” katanya.
Pada 18 Okt, Ahli Parlimen Kuala Selangor Dzulkefly Ahmad, mencadangkan cukai warisan diperkenalkan semula sambil menyatakan kerajaan boleh meraih levi yang signifikan.
Beliau berkata, sistem percukaian tersebut telah dilaksanakan di negara maju. Beliau memberi contoh seperti Korea Selatan, yang mana waris empayar perniagaan Samsung membayar USD6 bilion daripada kekayaan diwarisi daripada mendiang bapa.
Cukai warisan pernah dikenakan mengikut Enakmen Duti Harta Pusaka 1941, namun dimansuhkan pada November 1991 oleh perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.