
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata struktur lantikan badan itu akan mengambil kira pandangan serta cadangan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.
“Selaras hasrat kerajaan mendukung aspirasi Malaysia Madani, inisiatif ini dapat meningkatkan keyakinan rakyat bahawa tadbir urus dalam kalangan ahli politik dan anggota pentadbiran dapat diamalkan berteraskan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan integriti.
“Inisiatif ini juga membuktikan komitmen kerajaan perpaduan dalam melaksanakan agenda reformasi berterusan dan memastikan integriti dan tatakelola baik demi kesejahteraan di Malaysia,” katanya menurut Bernama dalam sesi kamar khas di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian susulan ucapan Young Syefura Othman (PH-Bentong) di kamar khas itu membangkitkan isu sama ada kerajaan akan menimbangkan RUU Pendanaan Politik.
Ramkarpal berkata kerajaan berharap apabila RUU itu dilaksanakan, sumbangan politik dalam apa jua bentuk tidak dijadikan medium penyalahgunaan kuasa dalam kalangan ahli politik yang boleh menjejaskan imej negara dan usaha kerajaan perpaduan untuk intervensi penyuburan aspek insan dalam masyarakat.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said berkata kerajaan merujuk cadangan RUU Pendanaan Politik kepada JKPK Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi bagi membolehkan parti politik dan pihak berkepentingan memberi maklum balas dalam memastikan akta yang akan digubal bersifat menyeluruh.