Tiada bayaran untuk jenama semula stadium QPR, kata Tengku Zafrul

Tiada bayaran untuk jenama semula stadium QPR, kata Tengku Zafrul

Tengku Zafrul Aziz berkata tajaan itu adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh salah satu pemilik kelab yang juga warga Malaysia.

Nama Stadium Matrade Loftus Road akan digunakan sehingga musim 2025/2026. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Penjenamaan semula nama stadium kelab bola sepak Inggeris, Queens Park Rangers (QPR) kepada Stadium Matrade Loftus Road tidak membabitkan sebarang bayaran selama dua tahun, kata Tengku Zafrul Aziz.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) itu berkata ini kerana penjenamaan stadium terletak di London itu bersifat program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh salah satu pemiliknya yang merupakan seorang warga Malaysia.

“Kosnya ialah pada Matrade kosong. Percuma untuk dua tahun kepada Matrade.

“(Ini) CSR dari salah satu pemilik QPR yang merupakan seorang warga Malaysia. Dia kata nak bagi promosikan terutamanya sekarang UK (United Kingdom) sebagai salah satu negara sertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP),” katanya semasa menggulung Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Johari Ghani (BN-Titiwangsa) yang bertanya rasional Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menaja stadium QPR di UK.

Johari turut meminta Zafrul menjelaskan nilai tajaan itu.

Ahad lalu, media melaporkan Matrade kini adalah rakan kongsi hak penjenamaan untuk Matrade Loftus Road Stadium, stadium ikonik kelab bola sepak Inggeris, QPR.

Matrade berkata perjanjian hak penjenamaan selama tiga tahun itu adalah platform yang sangat berharga untuk meningkatkan profil dengan ketara di UK.

UK adalah ekonomi keenam terbesar di dunia.

Perdagangan antara Malaysia dan UK yang kini berjumlah RM17.58 bilion (£3.24 bilion) dijangka berkembang dengan penyertaan UK dalam CPTPP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.