
Saraswathy menyifatkan PMKS sebagai “tulang belakang sebenar” ekonomi negara.
“Kerajaan di bawah kepimpinan teguh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menyokong penuh PKS kita.
“Dalam belanjawan baru-baru ini, beliau memperuntukkan RM44 bilion – pertama kali dalam sejarah – untuk pembangunan dan perkembangan PKS di negara ini,” kata Saraswathy pada acara dianjurkan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) di Pusat Seni Persembahan Petaling Jaya.
Dalam belanjawan 2024 dibentangkan Anwar bulan lalu, kerajaan memperuntukkan RM44 bilion bagi kemudahan pinjaman dan pembiayaan PMKS.
Ini termasuk RM1.4 bilion bawah pinjaman mikro Bank Simpanan Nasional, RM330 juta bawah Tekun Nasional, RM720 juta bagi usahawan wanita dan belia.
Saraswathy berkata, kementeriannya turut komited membantu usahawan mikro meningkat dalam rantaian nilai, dengan mengetengahkan bantuan RM100 juta disalurkan SME Corporation Malaysia (SME Corp) menerusi Program Pengukuhan Mikro Madani.
“Kementerian tidak sabar berganding bahu dengan persatuan hebat seperti Samenta dalam pada kita terus menyokong sektor PKS di Malaysia,” kata Saraswathy.
Sementara itu, Presiden Samenta William Ng menegaskan pentingnya kira-kira 1.2 juta PKS yang ada di Malaysia.
Menurutnya, Samenta ditubuhkan dengan objektif untuk menjadi suara PKS di peringkat kebangsaan.
“Samenta bukan saja menyokong pertumbuhan perniagaan kita tetapi juga memastikan PKS di negara ini tidak dilupakan kerajaan, pembuat dasar dan semua pihak yang penting.
“Kami akan terus melakukan apa yang terbaik sebagai tulang belakang ekonomi negara ini,” katanya.
Samenta adalah organisasi bukan untung yang ditubuhkan di Pulau Pinang pada 1986. Persatuan PKS terbesar dan tertua di Malaysia itu ditubuhkan Lim Chong Eu, iaitu ketua menteri Pulau Pinang ketika itu.
Tujuan diwujudkan adalah untuk memudahkan operasi syarikat multinasional di Malaysia akibat kekurangan persekitaran sokongan perniagaan di negara ketika itu.
“Hari ini sekalipun, kita masih dianggap ramai pihak bukan saja sebagai tulang belakang ekonomi, malah bagi pelaburan asing. Anda dapat lihat peranan penting dimainkan Samenta selama ini.”