Pemilik syarikat, pekerja didakwa kemuka dokumen palsu insentif Penjana

Pemilik syarikat, pekerja didakwa kemuka dokumen palsu insentif Penjana

Mereka dituduh memberi Borang Pengesahan Pekerja mengandungi butiran palsu kepada pegawai Perkeso bagi menuntut insentif keseluruhan berjumlah RM126,100.

Pemilik syarikat Arrie Syahiman Mohd Zain dan pekerjanya Nurul Azwani Mohd Razali masing-masing menghadapi tiga pertuduhan bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Seorang pemilik syarikat dan pekerjanya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas enam pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 (Penjana) berjumlah RM126,100, dua tahun lalu.

Pemilik syarikat, Arrie Syahiman Mohd Zain, 33 dan pekerjanya Nurul Azwani Mohd Razali, 37, masing-masing menghadapi tiga pertuduhan bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mereka dituduh memberi Borang Pengesahan Pekerja bawah program itu yang mengandungi butiran palsu kepada seorang pegawai Perkeso bagi menuntut insentif keseluruhan berjumlah RM126,100 di pejabat Perkeso di Kuala Terengganu pada Jun dan Julai 2021.

Kesalahan tersebut boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butiran palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mereka juga mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pilihan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hakim Norashima Khalid membenarkan mereka diikat jamin RM15,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Nov ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mariah Omar, manakala Nurul Azwani diwakili peguam Mohd Hayyatudin Muhammad, sementara Arrie Syahiman tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.