Sedia bas sekolah percuma di seluruh negara, kerajaan diberitahu

Sedia bas sekolah percuma di seluruh negara, kerajaan diberitahu

Badan industri dan pakar berkata, ia mampu membantu pengusaha bas sekolah yang semakin terjejas dengan kekurangan penumpang.

Beberapa sekolah di Perak mencatatkan penurunan kehadiran pelajar susulan keputusan sebuah syarikat bas terkenal menutup operasinya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan boleh meniru model bas sekolah percuma yang diperkenalkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dikenali sebagai MySchoolBus, sebagai satu inisiatif di seluruh negara, kata pakar.

Pakar pengangkutan Rosli Khan berkata inisiatif itu mampu memastikan pelajar dari keluarga B40 dan M40 sentiasa hadir ke sekolah.

“Menerusi inisiatif MySchoolBus di Kuala Lumpur, seramai 15,128 pelajar sekolah mendapat manfaat… Jadi ia perlu diperluaskan,” kata Rosli kepada FMT.

Beliau memberi cadangan itu susulan laporan penurunan kedatangan pelajar di beberapa sekolah di Perak selepas syarikat bas Hup Yik menamatkan perkhidmatan susulan kos selenggara yang tinggi dan jumlah penumpang yang rendah.

MySchoolBus diperkenalkan DBKL dengan peruntukan RM23 juta. Ia membabitkan kira-kira 900 bas sekolah.

Rosli juga keliru dengan pengumuman kerajaan dalam Belanjawan 2024 yang memperuntukan RM600 juta untuk Prasarana membeli lebih banyak bas.

“Perkhidmatan bas ketika ini beroperasi tanpa penumpang dan tidak memberi manfaat kepada pengguna. Sebaliknya peruntukan ini boleh disalurkan untuk meluaskan program MySchoolBus di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPBSM) Amali Munif Rahmat berkata model itu juga boleh membantu operator bas mengekalkan perniagaan mereka.

Amali berkata, lebih separuh pengusaha bas sekolah gulung tikar sejak pandemik Covid-19 melanda.

M Saravanan, 40, berkata kurangnya penumpang selepas pandemik menyebabkan dia terpaksa menamatkan perkhidmatan bas sekolah selepas beroperasi selama 15 tahun di Kajang.

“Saya percaya ada stigma bas sekolah tidak lagi selamat (selepas pandemik), keadaan itu menyebabkan ramai ibu bapa menghantar sendiri anak mereka ke sekolah.

“Adanya kemudahan bas MRT di beberapa kawasan juga mungkin antara faktor,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.