Polis boleh dipertanggungjawabkan atas kematian dalam tahanan, kata mahkamah

Polis boleh dipertanggungjawabkan atas kematian dalam tahanan, kata mahkamah

Mahkamah Rayuan menganugerahkan ganti rugi teruk kerana kecuaian dan sikap acuh tak acuh di pihak polis.

M Visvanathan selaku peguam menjelaskan kepada V Santhi dan P Vathian tentang kes, bersama R Karnan (kanan) and V Sanjay Visvanathan (kiri).
PUTRAJAYA:
Keputusan Mahkamah Rayuan tidak memihak kepada polis dan kerajaan berhubung kecuaian dalam kes kematian seorang ahli perniagaan yang ditahan di lokap sebuah balai polis di Shah Alam, lima tahun lalu.

Sidang tiga hakim yang dipengerusikan oleh Lee Swee Seng memutuskan bahawa balu dan bapa mertua mendiang berjaya membuktikan kes mereka dengan sewajarnya.

“Kami mendapati Mahkamah Tinggi terkhilaf kerana tidak menimbang fakta yang didapati oleh mahkamah koroner,” kata Lee.

Namun sidang hakim mengesahkan dapatan mahkamah bawahan bahawa tiada kesalahan misfeasans dalam jawatan awam berlaku.

Mahkamah berkata pemberian ganti rugi teruk adalah wajar memandangkan si mati, S Thanabalan, tidak dapat rawatan segera; di samping beliau ditahan dalam lokap yang keadaannya amat buruk.

Lee antara lain berkata defendan cuai kerana tidak menghantar Thanabalan ke hospital dengan segera, dan tidak boleh terima alasan kurang kakitangan untuk menghantar mendiang.

Beliau turut merujuk laporan bedah siasat yang mendapati punca kematian Thanabalan adalah kerana leptospirosis, dan keterangan yang mengatakan tempat mendiang ditahan dicemari bakteria, serta lokap tiada akses kepada air bersih.

“Penganugerahan ganti rugi teruk ini bagi menghantar suatu mesej bahawa mahkamah membenci sikap acuh tak acuh dan kecuaian di pihak defendan,” tegas Lee.

Lee yang bersidang bersama Supang Lian dan Azhahari Kamal Ramli berkata ganti rugi teruk itu termasuk pampasan bagi penderitaan, dan menyerahkan penilaian ganti rugi kepada Mahkamah Tinggi.

Isteri mendiang iaitu V Santhi, 43, menuntut ganti rugi pada 2021 bagi pihak dirinya, dua anak mereka, dan harta suaminya. Bapa mertua si mati, P Vathian, 74, mentadbir harta mendiang secara bersama.

Thanabalan diisyihatkan meninggal dunia di hospital dua minggu selepas ditahan dan direman kerana disyaki terlibat dengan pertubuhan haram.

Santhi dan Vathian diwakili oleh M Visvanathan, R Karnan, dan V Sanjay Visvanathan selaku peguam; manakala kerajaan diwakili oleh Syakimah Ibrahim dan Ashraf Abdul Hamid.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.