Pantau ‘orang tengah’ selepas mansuh subsidi ayam, kerajaan diberitahu

Pantau ‘orang tengah’ selepas mansuh subsidi ayam, kerajaan diberitahu

Perkara itu tidak berlaku ketika ini disebabkan penguatkuasaan kawalan harga dan subsidi ayam oleh kerajaan.

Kawalan harga dan subsidi ayam akan ditamatkan pada 1 Nov. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa memantau “orang tengah” yang dibimbangi akan mengambil kesempatan menaikkan harga ayam di pasaran susulan penamatan kawalan harga dan subsidi bahan makanan itu.

Penasihat Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Jeffrey Ng, berkata perkara itu tidak berlaku ketika ini disebabkan penguatkuasaan kawalan harga dan subsidi ayam oleh kerajaan.

“Kita harap kerajaan ambil tindakan terhadap orang tertentu, kalau dari ladang tak naik (harga) tapi di pasaran naik (harga), maknanya orang tengah ambil kesempatan untuk untung besar,” katanya kepada FMT.

Terdahulu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu memaklumkan kawalan harga dan subsidi ayam akan ditamatkan pada 1 Nov.

Mengulas pengumuman itu, Jeffery berkata langkah tersebut akan menggalakkan industri penternakan terus berkembang dan menarik minat pelabur asing dalam sektor berkenaan.

“(Ia juga) akan mengukuhkan lagi bekalan ayam pedaging dan menyumbang secara positif kepada keselamatan makanan negara,” katanya yang turut memberi jaminan bekalan ayam mencukupi terutama selepas harga siling dinaikkan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Masyarakat India Perikatan Nasional (PN), SP Punithan, menggesa kerajaan mempertimbangkan menarik balik pengumuman tersebut, berikutan peningkatan kos sara hidup dialami rakyat ketika ini.

Malah katanya, pengumuman itu disifatkan tidak sesuai terutama menjelang perayaan Deepavali 12 Nov ini.

“Kerajaan harus lebih sensitif terhadap menjaga kebajikan rakyat. Jangan letakkan beban kenaikan harga pada rakyat dengan nama menjimatkan subsidi dan duit kerajaan.

“Kerajaan sepatutnya mencari kaedah alternatif untuk mengekang ketirisan bukan menghentikan subsidi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.