‘Hidup dalam keadaan dahsyat’, aktivis rujuk nasib pekerja Bangladesh kepada UN

‘Hidup dalam keadaan dahsyat’, aktivis rujuk nasib pekerja Bangladesh kepada UN

Andy Hall menulis kepada OHCHR memperincikan situasi dihadapi pekerja asing di Malaysia.

Aktivis hak asasi migran Andy Hall memperincikan keadaan hidup pekerja asing dalam dokumen yang dihantarnya ke OHCHR. (Gambar Andy Hall)
PETALING JAYA:
Kecewa dengan respons pihak berkuasa Malaysia yang tidak memuaskan berhubung nasib ratusan pekerja Bangladesh yang didakwa terbelenggu dengan hutang, tanpa pekerjaan di negara itu, seorang aktivis hak migran merujuk perkara itu kepada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR)

Andy Hall telah menulis surat kepada OHCHR, sebuah badan bawah Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) di Geneva, Switzerland, menyifatkan situasi dihadapi pekerja-pekerja itu sebagai “dahsyat”.

Beliau memperincikan keadaan hidup mereka yang daif, termasuk kuarters yang sempit, sanitasi yang buruk, makanan yang terhad dan bagaimana mereka dibelenggu hutang akibat kos pengambilan yang terlalu tinggi dalam tempoh 18 bulan lepas atau lebih.

Hall juga menghantar aduan yang didokumenkan itu kepada Pelapor Khas PBB mengenai Perhambaan, Pemerdagangan, Migran, Kemiskinan, dan Kumpulan Kerja mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia, serta Pia Oberoi, penasihat kanan mengenai migrasi dan hak asasi manusia untuk Asia Pasifik.

Hall memfokuskan pada pengakuan kerajaan Malaysia bahawa pada masa ini terdapat lebihan kira-kira 250,000 pekerja Bangladesh di negara ini.

“Berdasarkan kajian kes dan surat-menyurat dengan pihak berkuasa Malaysia, saya ingin segera meminta UNHRC menggunakan prosedur khas OHCHR untuk menyelesaikan situasi di Malaysia ini.

“Kerajaan telah mengakui terdapat lebihan sekitar 250,000 pekerja di Malaysia, yang mengakibatkan buruh paksa sistematik, perhambaan moden dan ikatan hutang,” katanya.

Hall berkata, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjelaskan bagaimana keadaan sedemikian boleh berlaku, sambil menambah jika pemohon pekerja asing jujur, tidak sepatutnya terdapat lebihan pekerja di negara ini.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution berkata, pelonggaran peraturan berhubung pengambilan pekerja asing dan usaha rekalibrasi menyebabkan lebihan pekerja asing dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Salah satu kes yang didokumenkan melibatkan 400 pekerja Bangladesh yang didakwa berada dalam keadaan teruk, tanpa tempat tinggal sempurna dan bekalan makanan yang cukup, menurut Hall.

Beliau mendakwa, mereka tinggal dalam keadaan sempit dan dilaporkan mengalami masalah kesihatan.

“Lebih kurang 14 pekerja bersesak dalam satu bilik. Saya ada terima video dari kumpulan ini. Ejen yang bawa mereka ke sini memberi mereka RM200 setiap seorang, yang mereka gunakan untuk beli makanan. Wang itu takkan bertahan lama,” katanya.

Hall berkata, pekerja-pekerja terbabit harus menerima gaji penuh mereka mengikut kontrak, selain harus diberikan sokongan lain yang berkaitan.

Katanya, pekerja-pekerja itu hidup dalam ketakutan kerana tidak mempunyai dokumen yang sesuai, menimbulkan risiko bagi mereka untuk keluar mendapatkan perkhidmatan penting.

“Membiarkan pekerja dalam keadaan ini tidak boleh diterima di pihak broker, majikan dan kerajaan Malaysia.”

FMT telah menghubungi OHCHR, jabatan buruh Malaysia dan Suruhanjaya Tinggi Bangladesh untuk mendapatkan ulasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.