
Sementara itu, seorang lagi akan diberi jamin polis petang ini selepas tempoh reman tamat, lapor Harian Metro.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata salah seorang suspek dibebaskan pada 6.30 petang semalam adalah wanita berusia 33 tahun yang bekerja di i-Serve secara dalam talian sejak 2013 sebelum dilantik sebagai ahli lembaga pengarah.
“(Turut dibebaskan) suspek lelaki berusia 48 tahun berperanan sebagai pengurus penyelidikan dan pembangunan di syarikat terbabit pada 2006, selain dilantik menjadi ahli lembaga pengarah kepada beberapa anak syarikat termasuk MYAirline,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata suspek wanita berusia 30 tahun yang bekerja di i-Serve sebagai pembantu kewangan sebelum dilantik sebagai ahli lembaga pengarah dan rakan kongsi kepada beberapa syarikat akan diberi jaminan polis petang ini.
Mereka sebelum ini direman bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram membabitkan i-Serve dan MYAirline.
Terdahulu dilaporkan seorang peguam yang direman bagi membantu siasatan kes sama dibebaskan dengan jaminan polis Jumaat lalu.
Bagaimanapun, Ramli berkata peguam itu akan dipanggil semula untuk disambung rakaman percakapannya.