
Chua Shiau Boon, 48, dan Seow Book Boon, 45, kelihatan bersalaman satu sama lain di kandang tertuduh selepas Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid membacakan keputusan itu.
Radzi berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh apabila gagal memanggil saksi penting, Chan Eng Chin.
“Wujud kelompangan apabila pihak pendakwaan gagal mengemukakan Chan di mahkamah. Puntung rokok dan asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijumpai dalam rumah tidak boleh mengaitkan tertuduh dengan milikan dadah kerana ada kesan cap jari individu lain.
“Justeru, kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan,” katanya selepas membacakan alasan penghakiman kira-kira 30 minit di akhir pendakwaan kes.
Chua dan Seow menghadapi lapan pertuduhan pindaan, iaitu memiliki 134kg kafein (tiga pertuduhan), 2.549kg chloroquine (dua pertuduhan), 2.061kg heroin, 1.248kg nitrazepam dan 5.39 liter kloroform.
Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Tengkera di sini, kira-kira 9.45 pagi 2 Okt 2018.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.
Mereka juga dituduh melakukan kesalahan bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 30(5) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya.
Mereka juga didakwa bawah Seksyen 30(3) dan 9(1) Akta Racun 1952, selain boleh dihukum bawah Seksyen 32(2) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.
Chua diwakili peguam Tiu Leong Kim, manakala Seow diwakili Andrew Lourdes.