Simulasi phishing tingkat kesedaran ancaman scam, kata Fahmi

Simulasi phishing tingkat kesedaran ancaman scam, kata Fahmi

Fahmi Fadzil berkata kerajaan akan melaksanakan seawal mungkin untuk meningkatkan kesedaran keselamatan siber.

Fahmi Fadzil berkata golongan usia antara 17 hingga 40 tahun paling ramai menjadi mangsa penipuan dalam talian. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mencadangkan supaya satu simulasi phishing dilaksanakan sebagai antara langkah proaktif bagi meningkatkan lagi kesedaran masyarakat mengenai keselamatan siber dan ancaman scam.

Beliau berkata ini penting memandangkan kes jenayah scam dan penipuan dalam talian masih lagi tinggi sekali gus menjadi masalah serius di negara ini, dengan golongan usia antara 17 hingga 40 tahun paling ramai menjadi mangsa.

“Saya akan bincang dengan beberapa pihak dalam Gabungan Bertindak Anti-Scam (GBAS) untuk kita laksanakan seawal mungkin. Ini akan membantu untuk meningkatkan kesedaran (mengenai keselamatan siber dan ancaman scam).

Fahmi Fadzil.

“Isunya ialah apabila kita bercakap tentang satu bentuk scam, mungkin minggu depan atau petang ini (akan) direncana scam baharu (oleh penjenayah siber). Ini antara kekangan kita kerana mereka terlalu kreatif.

“Justeru, kami sedang teliti daripada beberapa aspek. Saya berpandangan, bergantung harap kepada siri jelajah (bagi meningkatkan kesedaran tentang keselamatan siber dan ancaman scam) sahaja belum mencukupi (dan) boleh dirancakkan dengan beberapa cara lain,” katanya selepas menghadiri Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 peringkat Sabah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, hari ini.

Ia merupakan program anjuran bersama CyberSecurity Malaysia dan CelcomDigi dengan kerjasama GBAS serta sokongan Kementerian Komunikasi dan Digital bagi memberi pengetahuan kepada masyarakat mengenai jenis jenayah scam, modus operandi terkini serta tips amalan terbaik untuk mengelakkan diri daripada mudah terpedaya dan menjadi mangsa.

Terdahulu, Fahmi ketika berucap berkata pusat tindak balas insiden keselamatan siber Cyber999 kendalian CyberSecurity Malaysia merekodkan sebanyak 4,381 insiden keselamatan siber bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

Sebanyak 2,788 insiden atau 64 peratus daripadanya adalah berkaitan penipuan dalam talian, katanya.

“Oleh itu, pelbagai usaha, inisiatif serta kempen berkaitan dengan scam dan penipuan dalam talian perlu dipergiat dan diperluaskan kepada seluruh lapisan masyarakat dengan pendekatan lebih kreatif dan komprehensif,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.