
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata penerapan nilai murni penting supaya pelajar tidak diberikan gambaran tidak tepat atau salah tafsir sehingga menimbulkan kebimbangan sesetengah pihak.
“Pelajar perlu faham isu (Palestin) ini adalah isu global, maka mereka perlu diberi peluang untuk menelaah, meneliti, menulis dan mendedahkan diri dengan bahan media yang menggambarkan situasi sebenar supaya lebih menghayati maksud solidariti dan setiakawan.
“Gambaran tepat juga perlu diberikan betapa dunia perlukan keamanan…Ini menjadi tanggungjawab pendidik untuk mendidik anak-anak mengenai keamanan sejagat, selain aktiviti yang mampu memupuk semangat dan nilai baik,” katanya selepas menghadiri Konvensyen Pemuda PKR Zon Utara di Pen Mutiara, Batu Maung.
Beliau mengulas gesaan 12 Adun meminta Kementerian Pendidikan (KPM) mengkaji semula keputusan menganjurkan Minggu Solidariti Palestin di sekolah dan institusi pendidikan awam yang dijadualkan bermula esok supaya ia bebas unsur dendam serta keganasan.
Adam yang juga ketua Pemuda PKR berkata, inisiatif kerajaan menganjurkan program sedemikian usaha baik, namun bagaimana ia diterjemahkan perlu diteliti, khasnya ketika pelajar masih kabur mengenai isu itu.
“Anak-anak di sekolah hari ini berdepan waktu yang mana orang di sekeliling mereka bercakap soal Palestin, tapi apa pendidikan yang kita bagi kepada anak-anak? Kita bimbang jika mereka ini tidak diberi bimbingan betul, akan ada pihak ambil kesempatan memesongkan minda mereka.”
Beliau yakin KPM mempunyai garis panduan dan berharap ia mencukupi supaya pelajar diberikan peluang seadilnya bersama-sama menghayati semangat serta maksud sebenar solidariti untuk Palestin.
Semalam, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata program membabitkan replika senjata mainan di sebuah sekolah yang tular di media sosial itu tidak mengikut garis panduan kerajaan dan di luar tempoh pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin mulai esok hingga 3 Nov ini.