
Pengerusi PSM, Dr Michael Jeyakumar Devaraj berkata Seksyen 425 Kanun Tanah Negara hanya boleh digunakan terhadap penceroboh menggunakan tanah kerajaan tanpa kebenaran.
Katanya, ini tidak terpakai kepada petani di sana kerana mereka mempunyai “persetujuan tersirat” penggunaan tanah memandangkan mereka bertapak di Kanthan lebih 70 tahun lalu.
“Petani bertapak di kawasan ini lebih 70 tahun lalu dan dibenarkan menggunakan tanah itu oleh pentadbiran kolonial dan kerajaan Malaysia sehingga dua minggu lalu.
“(Sebagai contoh pengakuan ini) petani Kanthan pernah diberikan baja oleh Jabatan Pertanian negeri,” katanya dalam kenyataan.
Bekas Ahli Parlimen Sungai Siput itu mengecam kerajaan negeri hanya memberi tempoh seminggu kepada petani berpindah susulan notis pengusiran dikeluarkan pada 13 Okt lalu.
Beliau berkata PSM sudah memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Ipoh bagi mengetengahkan perkara itu.
“Kami dan petani dari Kawasan A, Kanthan, Tambun, tidak berpuas hati dengan layanan biadab Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak serta Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) pada 24 Okt lalu.”
Pada 24 Okt lalu, Jeyakumar ditahan polis bersama dua ahli PSM dan seorang petani berhubung protes di ladang sayur Kanthan. Pasukan penguat kuasa turut membersihkan semua tanaman di ladang itu.
Dalam protes itu, aktivis PSM bernama Chong Yee Shan didakwa ditolak pegawai PTG ketika dia cuba menghalang jentolak dan jengkaut melaksanakan perintah pengusiran.
Chong dibawa ke hospital terdekat selepas cedera di hidung, mulut, kaki dan tangan.
Jeyakumar turut menjawab dakwaan Pengarah PTG Perak, Fariz Hanip bahawa petani diperuntukkan sebidang lagi tanah tidak jauh dari lokasi ini setahun lalu atas pembangunan dirancang.
Katanya tanah itu dipilih tanpa rundingan dengan petani dan mereka mendapati kawasan dipilih itu tidak sesuai untuk pertanian kerana “berbukit dan kekurangan sumber air mencukupi”.
“Kami sudah memaklumkan perkara itu kepada PKNP dan PTG, tetapi mereka belum mengadakan sebarang perbincangan dengan kami.”
Tambun terletak bawah Parlimen Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.