
Siasatan itu susulan penyerahan memorandum oleh penduduk Kampung Papan bersama Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), M Sivaranjani kepada Suhakam atas dakwaan pencabulan hak perumahan serta penggunaan kekerasan oleh pihak berkuasa ketika perobohan.
Memorandum itu diterima Pesuruhjaya Suhakam, Abdul Kadir Jailani Ismail.
Sivaranjani berkata, penduduk kini dalam keadaan terdesak apabila sebahagian daripada mereka menjadi setinggan kerana terpaksa kembali ke tapak rumah dirobohkan disebabkan tiada tempat tinggal.
“Sebanyak 29 rumah di kampung itu dirobohkan dalam tempoh lima hari berturut-turut dari 10 hingga 14 Nov lalu, walaupun terdapat jaminan hanya membabitkan rumah kosong,” katanya di ibu pejabat Suhakam.
Menurutnya, jaminan itu menyebabkan penduduk tidak bersedia apabila rumah masih berpenghuni turut diroboh, sekali gus mengakibatkan barangan peribadi mereka musnah.
“Perobohan tetap diteruskan, walaupun aduan telah dibuat kepada wakil rakyat.”
Beliau berkata, walaupun kerajaan negeri mengumumkan skim Smart Sewa Selangor akan ditawarkan kepada penduduk terjejas, setakat ini tiada rundingan rasmi diadakan dan perkara itu turut dimasukkan dalam memorandum supaya Suhakam menyiasat kegagalan pihak berkaitan melindungi hak penduduk.
Dalam pada itu, Penduduk Kg Jalan Papan, Teoh Ah Guat, 63, berkata beliau terpaksa kembali tinggal di tapak rumahnya yang sudah dirobohkan.
“Saya tiada rumah lain. Selagi tiada pampasan atau rumah ganti diberikan, saya terpaksa tinggal semula di situ,” katanya sambil menambah ada penduduk terpaksa menumpang di rumah saudara mara, sebahagian lagi membina struktur sementara sebagai tempat berteduh.