
Katanya, ia mengakui liabilitinya dan penting baginya menghormati serta mematuhi prosedur undang-undang ditetapkan ketika menentukan pampasan.
“Penilaian ganti rugi akan berlangsung di Mahkamah Tinggi pada 18 Jan 2024, langkah penting ke arah penyelesaian.
“Sebagai organisasi bertanggungjawab dan prihatin, TNB komited menyokong dan memudahkan proses pampasan, sebaik saja Mahkamah Tinggi membuat keputusan,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan ini menyusul kenyataan Ahli Parlimen Tanah Rata, Ho Chi Yang pada Rabu bagi pihak 70 mangsa banjir, yang menggesa penyelesaian pampasan segera selepas menunggu selama sedekad.
Wakil rakyat DAP itu dilaporkan berkata, mangsa mengalami kerugian kewangan besar dan mendakwa TNB berlengah membayar pampasan.
Pada 2015, mangsa menyaman TNB cuai menguruskan takungan Ringlet di Empangan Sultan Abu Bakar selepas ia melepaskan air dari empangan sebanyak tiga kali, mengakibatkan banjir pada Oktober 2013.
Tiga tahun kemudian, Mahkamah Tinggi mendapati TNB bersalah atas kecuaian. Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan kemudian mengekalkan keputusan itu.
Mangsa dianugerahkan kos RM50,000 oleh Mahkamah Tinggi dan kos RM20,000 oleh Mahkamah Rayuan.