Kerajaan akan kaji insentif bagi konsep ‘bina kemudian jual’, kata Nga

Kerajaan akan kaji insentif bagi konsep ‘bina kemudian jual’, kata Nga

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata konsep itu kaedah terbaik menyelesaikan masalah projek perumahan sakit.

Nga Kor Ming menyifatkan konsep ‘bina kemudian jual’ langkah ke hadapan.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan sedia berbincang dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) mengenai insentif bagi menggalakkan pemaju perumahan mengguna pakai konsep “bina kemudian jual”.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata konsep “bina kemudian jual” kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah projek perumahan sakit.

“Kementerian akan bekerjasama dengan Rehda untuk menyediakan pilihan baharu buat pemaju perumahan.

“Bulan depan, saya akan berbincang dengan Rehda tentang insentif untuk pemaju perumahan mengamalkan konsep bina kemudian jual,” katanya selepas melancarkan ekspo perumahan di sini.

Nga yakin tiada lagi projek perumahan terbengkalai jika pemain industri mengamalkan konsep baharu itu kerana mereka hanya boleh menjual apabila siap dibina.

“Saya percaya ini langkah baharu ke hadapan, tetapi kita tidak akan tergesa-gesa kerana saya percaya dengan perkongsian pintar antara sektor swasta dan awam.”

Pada 2019, pentadbiran Dr Mahathir Mohamad berkata Putrajaya akan mengkaji semula skim “bina kemudian jual” untuk pemilikan hartanah tahun itu.

Nga berkata, kerajaan berharap pemilikan rumah akan mencapai 80% pada 2024 dan hampir RM800 juta diperuntukkan dalam belanjawan 2024 untuk projek perumahan rakyat dan Rumah Mesra Rakyat.

Katanya, kementeriannya sedang merangka garis panduan baharu sebagai penambahbaikan bagi memastikan rumah mampu milik mencukupi dan berkualiti untuk rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.