Kebocoran arus punca 2 maut direnjat elektrik di gerai burger

Kebocoran arus punca 2 maut direnjat elektrik di gerai burger

Suruhanjaya Tenaga berkata, tindakan undang-undang akan diambil jika terdapat kecuaian atau kesalahan mana-mana pihak.

Dua lelaki disahkan meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri ketika bekerja di sebuah gerai burger di Taman Bercham Jaya pada 15 Okt lalu.
PETALING JAYA:
Kebocoran arus akibat kabel bekalan fasa hidup dikenal pasti punca renjatan elektrik di gerai burger di Taman Bercham Jaya, Ipoh yang meragut dua nyawa pada 15 Okt lalu.

Suruhanjaya Tenaga (ST) berkata, penemuan itu hasil siasatannya selaras Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Peraturan-peraturan Elektrik 1994.

“Ini menyebabkan kedua-dua mangsa terkena renjatan elektrik apabila tersentuh bahagian badan kabin gerai,” katanya dalam kenyataan menurut Bernama.

Dua lelaki berusia 14 dan 30 tahun yang sedang bekerja di gerai burger itu ditemui tidak sedarkan diri di tepi gerai akibat terkena renjatan elektrik dan disahkan meninggal dunia oleh kakitangan ambulans dari Hospital Raja Permaisuri Bainun.

ST berkata, tindakan undang-undang akan diambil jika terdapat kecuaian atau kesalahan mana-mana pihak.

Ia menggariskan beberapa panduan keselamatan penggunaan elektrik untuk rujukan pemilik, pengusaha perniagaan dan orang ramai, antaranya memastikan tiada sambungan elektrik haram serta melantik kontraktor elektrik dan orang kompeten berdaftar dengan ST untuk kerja pendawaian elektrik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.