Stesen rel Lembah Klang guna pembayaran terbuka sepenuhnya Ogos 2025

Stesen rel Lembah Klang guna pembayaran terbuka sepenuhnya Ogos 2025

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata ia merangkumi perkhidmatan LRT, MRT, monorel dan komuter.

Sistem baharu itu akan memperkenalkan penggunaan kad debit dan kredit selain kaedah pembayaran sedia ada iaitu kad Touch ‘n Go dan token.
KUALA LUMPUR:
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata semua stesen rangkaian perkhidmatan rel di Lembah Klang akan menggunakan sistem pembayaran terbuka sepenuhnya pada Ogos 2025.

Beliau berkata, sistem baharu itu akan memperkenalkan penggunaan kad debit dan kredit selain kaedah pembayaran sedia ada iaitu kad Touch ‘n Go dan token.

Justeru, katanya Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) akan melaksanakan kerja “design and development” bagi sistem pembayaran terbuka bermula Mac tahun depan.

“Prasarana akan mengambil tempoh 11 bulan iaitu sehingga Februari 2025 untuk menyiapkan 50% daripada gantri di setiap stesen untuk menerima kaedah pembayaran terbuka.

“Menjelang Ogos 2025, semua gantri di setiap stesen akan siap,” katanya menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang meminta menteri menyatakan kemajuan pelaksanaan sistem pembayaran terbuka dalam rangkaian pengangkutan awam di Lembah Klang.

Sementara itu, Loke berkata bagi rangkaian perkhidmatan komuter KTMB di Lembah Klang, pengguna dapat mengakses semua kaedah pembayaran termasuk kad kredit, kad debit, Touch ‘n Go dan kod QR melalui aplikasi mudah alih KTMB (KITS) bermula bulan depan.

“Pengguna dapat menikmati kemudahan baru di semua 57 stesen komuter KTMB di Lembah Klang,” katanya sambil menambah projek berkenaan melibatkan kos RM29 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.