
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ramli Mohamed Yoosuf berkata suspek masing-masing dua wanita dan dua lelaki berusia di antara 30 hingga 62 tahun ditahan di Menara KPJ dan Bukit Tunku.
Menurutnya, suspek pertama seorang wanita berusia 30 tahun yang bekerja sebagai penolong bendahari di I-Serve Technology & Vacation Sdn Bhd manakala suspek kedua turut membabitkan wanita yang berperanan pembantu kewangan di syarikat sama berusia 33 tahun.
Katanya, suspek ketiga pula berusia 48 tahun iaitu pengurus R&D di syarikat itu yang juga Ahli Lembaga Pengarah MYAirline Sdn Bhd.
Penahanan keempat di Bukit Tunku membabitkan seorang lelaki berusia 62 tahun yang berperanan sebagai peguam di i-Serve.
“Mereka dibawa ke pejabat Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) JSJK Bukit Aman untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Bulan lepas, i-Serve, bersama enam syarikat berkaitannya, didenda oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kerana beroperasi tanpa lesen yang sesuai untuk menerima deposit. Goh juga merupakan salah seorang pemegang saham i-Serve.
Pada 17 Okt, Goh bersama dua ahli keluarganya ditahan reman bagi membantu siasatan.
Ketiga-tiga mereka ditahan bagi membantu siasatan bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Sabtu lepas dilaporkan bahawa polis sedang mengenal pasti aset milik Goh dan ahli keluarganya, termasuk akaun bank atau harta, dipercayai hasil kegiatan pengubahan wang haram.